KUALA SELANGOR: Dua penjenayah bukan saja memanjat siling sebuah pasar raya, di sini, malah berani mengambil masa hingga lebih lima jam menebuk dinding sebuah kedai emas dan peti besi sebelum melarikan barang kemas bernilai lebih RM500,000.
Pelakuan penjenayah lelaki berusia 25 hingga 30-an terbabit dirakamkan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya berkenaan.
Rakaman menunjukkan dua suspek menceroboh pasar raya itu bermula jam 12.05 tengah malam Sabtu lalu sebelum menggerudi dinding kedai emas berkenaan dan keluar membawa beg berisi barang kemas yang dicuri jam 5.29 pagi, kelmarin.
Sumber polis berkata, pada mulanya dua suspek itu memanjat siling pasar raya berkenaan sebelum menceroboh masuk ke sebuah butik.
“Butik berkenaan terletak bersebelahan kedai emas berkenaan. Suspek yang membawa beg berisi mesin gerudi menggunakan alatan itu untuk menebuk dinding yang tepat menembusi di kedudukan peti besi kedai emas itu.
“Suspek mengambil masa agak lama sebelum peti besi itu ditebuk dan melarikan barang kemas,” katanya.
Menurutnya, mungkin akibat keletihan suspek melarikan diri membawa barangan berharga itu dengan meninggalkan alatan penebuk berkenaan di tempat kejadian.
Kejadian, katanya, disedari pekerja pasar raya ketika mahu memulakan tugas jam 8 pagi kelmarin sebelum terlihat dinding itu ditebuk. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes berkenaan setakat ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk bangunan pada waktu malam.
Menurutnya, polis melancarkan gerakan memburu bagi memastikan suspek terbabit diberkas.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment