SH:
JOHOR BAHRU – Sebanyak 417,506 saman trafik membabitkan kenderaan Singapura yang direkodkan di seluruh Malaysia dari tahun 2000 hingga 2011 belum dijelaskan.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 272,271 saman yang belum dilunaskan itu direkodkan di negeri Johor.
“Daripada September tahun ini, lebih daripada separuh saman trafik yang dikeluarkan kepada pemandu kenderaan Singapura itu dikesan melakukan kesalahan tersebut di Johor.
“Sehingga kini kita berjaya mengutip nilai kompaun RM22,571,991 dan bagi negeri ini sahaja ialah RM19,970,325 yang dibayar oleh pemilik kenderaan dari republik itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama media Johor dan Singapura, di sini, semalam.
Mohd Mokhtar berkata, selain itu sebanyak RM126,320 jumlah denda telah dikenakan kepada pesalah trafik dari negara jiran itu yang diperintahkan oleh mahkamah.
Katanya, polis sedang merangka pelan bagi mengutip saman tertunggak atas kesalahan yang dilakukan pesalah dari republik berkenaan.
“Buat masa ini, polis mengadakan sekatan jalan raya untuk mengenalpasti dan menahan pemandu yang tidak melunaskan saman trafik mereka, dan kita berharap ia akan mengurangkan kadar tunggakan yang ada,” katanya.
Katanya, bagi tempoh 2000 hingga September 2011 bagi rekod seluruh negara, sebanyak 624,716 saman dikeluarkan dengan 206,918 telah dijelaskan.
Bagi rekod negeri Johor, 420,561 saman dikeluarkan dengan hanya 148,290 saman dilunaskan.
Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar menjelaskan tahap keselamatan di Johor akan terus ditingkatkan khususnya bagi menangkis persepsi negatif mengenai ancaman bagi rakyat Singapura dan pelabur asing, ke negeri ini.
Katanya, tanggapan Johor negeri tidak selamat dikunjungi adalah tidak berasas.
“Hanya dua kes culik yang melibatkan rakyat Singapura dicatatkan dari tahun 2000 hingga kini, manakala jenayah melibatkan rakyat Singapura tahun 2010 hanya 320 orang berbanding 14 juta pelawat negara itu yang masuk negeri ini, iaitu hanya 0.002 peratus.
“Kalau kita kaji balik, tanggapan mengatakan untuk takut datang ke negeri ini tidak betul, tidak berasas sama sekali,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama media Johor dan Singapura, di sini, semalam.
Mohd Mokhtar berkata, kes yang membabitkan warga Singapura yang direkodkan ialah dengan kehilangan kereta dan motosikal.
Tegasnya, penjenayah tidak pernah memilih mangsanya berdasarkan kerakyatan, bangsa atau agama sebaliknya melakukan jenayah ke atas mangsa apabila mempunyai ruang dan peluang.
Beliau berharap dengan penjelasan yang disampaikan kepada media republik itu dapat memberikan gambaran yang tepat mengenai keadaan di negeri ini supaya keyakinan pelancong dan pelabur asing terhadap keselamatan mereka dapat ditingkatkan.
Dalam masa yang sama, pihaknya memberi jaminan akan melipatgandakan usaha bagi membanteras jenayah yang berlaku.
Beliau berkata, kerajaan dalam usaha meningkatkan keselamatan di Iskandar Malaysia dan memperuntukkan RM500 juta bagi pembinaan beberapa bangunan baru Ibu Pejabat Polis Daerah dan sedang berusaha menambah unit kereta peronda serta kamera litar tertutup bagi meningkatkan pengawasan.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment