KOTA BHARU 16 Okt. – Seorang peniaga produk jualan langsung memfailkan tuntutan saman sebanyak RM1 juta terhadap sebuah syarikat pengeluar produk jualan langsung yang beribu pejabat di Perlis, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas alasan menamatkan statusnya sebagai ejen jualan tanpa alasan kukuh.
Mohd. Zurah Jusoh, 28, yang memiliki perniagaan Md Zurah Enterprise di Jalan Long Yunus off Jalan Maju di sini diwakili peguam Saharudin Mohammed mendaftarkan tuntunan tersebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nariman Badruddin.
Dalam tuntutan tersebut, plaintif mendakwa dilantik sebagai ejen berstatus pusat jualan langsung pada 1 Oktober 2009 di kawasan Kota Bharu dan mendakwa telah menjalankan perniagaan dengan baik serta memberi keuntungan yang besar kepada pihak defendan.
Bagaimanapun dakwanya, pada 27 Februari 2011, dia menerima surat penamatan sebagai ejen tanpa bukti yang kukuh atau memberi peluang kepadanya membuat penjelasan.
Akibat daripada tindakan tersebut, plaintif mendakwa kehilangan pendapatan, mengalami kerugian kewangan yang teruk, hilang kepercayaan orang bawahan dan pelanggan, tekanan perasaan dan mental di samping jatuh maruah diri, keluarga dan perniagaan.
Plaintif mendakwa telah membuat laporan polis pada 13 April 2011 bagi menafikan isi kandungan surat tersebut dan selepas panggilan kepada pihak defendan tidak dilayan.
Mohd. Zurah menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 dan ganti rugi teruk teladan RM250,000 atau apa-apa jumlah yang mahkamah fikirkan sesuai.
Tuntutan juga meliputi ganti rugi teruk sebanyak RM250,000, faedah pada kadar lapan peratus setahun daripada tarikh penyerahan writ saman hingga tarikh penghakiman serta faedah ke atas jumlah penghakiman pada kadar lapan peratus setahun daripada tarikh penghakiman hingga akhir.
Plaintif turut menuntut hadiah insentif ta'wun seperti yang pernah ditawarkan oleh pihak defendan melalui surat bertarikh 18 Januari 2011, insentif kategori ketiga iaitu pencapaian enam Pengarah Jati dan ke atas berupa pakej haji.
Selain itu plaintif juga menuntut defendan mengumumkan plaintif layak menerima anugerah Pengarah Jati Mahkota terbaik 2010 yang juga melayakkan dia menerima anugerah Pusat Jualan Terbaik 2010. – Utusan
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment