SH:
KUBANG ROTAN - “Saya tidak dapat bayangkan jika anak saya tidur dalam buaian ketika kejadian kerana buaiannya diikat pada alang yang turut diterbangkan ribut bersama bumbung rumah,” kata Abdul Aziz Noor.
Bapa kepada bayi perempuan, Noor Alia Arisya yang berusia setahun lapan bulan berkata demikian ketika menceritakan kejadian ribut yang melanda rumah mereka di Kampung Kelonchor, malam Jumaat lalu.
Abdul Aziz, 29, berkata, sewaktu kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, dia dan isteri, Nor Hayati Md Isa, 24, serta anak mereka sedang tidur di dalam rumah berkenaan.
“Ketika itu, hujan lebat disertai guruh dan angin kencang. Saya terjaga dari tidur setelah terkena tempias air hujan, malah ketika itu saya juga terasa rumah kami seolah-olah bergegar.
“Saya kemudian mengejutkan isteri dan mendukung anak untuk keluar dari rumah. Sebaik menyelamatkan diri ke rumah ayah saya yang terletak berhampiran, saya lihat bumbung rumah sudah diterbangkan ribut, syukur kerana tiada siapa yang cedera,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, rumah itu adalah milik bapanya dan dia sudah menetap di rumah berkenaan sejak dua tahun lalu.
“Saya tidak menyangka ribut itu akan menerbangkan bumbung rumah saya, malah tidak dapat bayangkan jika sewaktu kejadian, bayi saya berada dalam buaian yang diikat pada kayu alang rumah itu, memandangkan kesemuanya turut diterbangkan angin.
“Ada ketikanya, Noor Alia Arisya tidur di dalam buaian berkenaan, bagaimanapun pada malam kejadian, dia tidur di atas tilam bersama saya dan isteri,” katanya.
Dia kini terpaksa menumpang sementara waktu di rumah ayahnya, Noor Saidin, 74.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment