Wednesday, 5 October 2011

Pasangan kekasih mati bersama

TAWAU: Gara-gara memandu kereta ‘sport’ dengan laju, sepasang kekasih maut apabila kenderaan itu terbabas dan merempih tembok batu selepas gagal mengelak seekor anjing melintas jalan di Kilometer 5, Jalan Kuhara, di sini, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, pemandu kereta Nissan Fairlady 350Z dikenali sebagai Tam, 35, maut di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kenderaannya yang hancur, manakala teman wanitanya dikenali Lo, 27, maut selepas tercampak keluar dari kenderaan. Difahamkan, sebelum kejadian, pasangan terbabit dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke kawasan perniagaan di Hot Spring, di sini. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan. Menurutnya, siasatan awal mendapati, pemandu kenderaan mewah itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terhumban ke dalam parit besar di kiri jalan. “Siasatan mendapati kenderaan itu dipandu laju dan pada masa sama gagal mengelak seekor anjing yang melintas jalan,” katanya. Menurut Ibrahim, polis turut menemui bangkai anjing yang dipercayai dilanggar mangsa. “Kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian termasuk pemandunya tersepit dan dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat beberapa jam kemudian,” katanya.

No comments:

Post a Comment