Friday 14 October 2011

Rasuah: Kontraktor dipenjara 1 hari, didenda RM10,000

Utusan Malaysia Online - Terkini:

IPOH 14 Okt. – Seorang kontraktor ubah suai rumah dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM1,000 kepada Penolong Pengarah Tanah dan Galian Daerah Ipoh pada Januari lalu.

Hakim Julie Lack Abdullah turut memerintahkan Tan Cheow Hiang, 39, menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi rasuah wang tunai RM1,000 kepada Mohamed Nazrein Mohamed sebagai dorongan untuk mendapatkan maklumat mengenai kawasan batu besi yang berada di bawah pentadbiran Pejabat Tanah dan Galian Daerah Ipoh.

Wang suapan tersebut juga didakwa diberi supaya Mohamed Nazrein `menutup mata' dalam urusan penguatkuasaan kerja-kerja mengeluarkan bahan batu besi di kawasan Perlop 1, Sungai Siput.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 8.15 malam, 11 Januari lalu di Polo Cafe, Hotel Heritage di sini.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Yang Ah Lay, manakala tertuduh diwakili peguam Nahtan Krishan. – Utusan

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment