Friday 14 October 2011

Suami isteri cedera ringan

myMetro | Suami isteri cedera ringan:

SIBU: Sepasang suami isteri terselamat meskipun dua batang balak sepanjang kira-kira 10 meter menembusi bahagian depan pacuan empat roda dinaiki mereka selepas kenderaan itu merempuh sebuah lori membawa balak yang tersadai akibat kerosakan di Jalan Bawang Assan-Sibu di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, pasangan suami isteri yang identiti mereka belum dikenal pasti dan masing-masing berusia 26 serta 34 tahun, menaiki Toyota Hilux dipercayai dalam perjalanan ke bandar ini, kira-kira jam 7 malam.


Bagaimanapun, pasangan terbabit tidak menyedari sebuah lori sarat dengan muatan balak tersadai di tepi jalan akibat rosak lalu merempuhnya.

Difahamkan, ketika kemalangan itu, pasangan terbabit sempat mengelak daripada dirodok balak yang menembusi bahagian cermin depan kenderaan dan hanya cedera ringan.


Menurut sumber, kemalangan itu berlaku apabila lori yang sarat dengan balak itu berhenti di tepi jalan akibat kerosakan.


“Secara kebetulan, keadaan jalan gelap, sekali gus menyukarkan pasangan berkenaan melihat kenderaan berat terbabit tersadai di tepi jalan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafiee Ismail ketika dihubungi berkata, kemalangan itu menyebabkan pasangan terbabit cedera ringan.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan mengalami kerosakan sebelum berhenti di lokasi kejadian.

“Polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu, termasuk mendapatkan keterangan daripada pasangan dan pemandu lori berkenaan,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment