Tuesday 25 October 2011

Disamun ‘tiga beranak’



ALOR GAJAH - Tindakan licik ‘tiga beranak’ berjaya mengaburi mata pasangan suami isteri yang menjalankan perniagaan makanan sejuk beku di pekan Masjid Tanah, di sini, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM2,600.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam kelmarin, mangsa, Asmarawa Salleh, 58, baru selesai solat Isyak bersama suami, Fadhil Hamid, 58, didatangi pelanggan yang lagaknya seperti bapa dan anak.

Menurut Asmarawa, lelaki berusia lingkungan 40-an dan wanita berusia lingkungan 20-an itu masuk ke kedai sementara seorang lagi wanita menunggu di dalam kereta jenis kancil berwarna biru gelap.

“Kedua mereka mengambil sebungkus daging burger dan membayarnya di kaunter sebelum keluar menuju ke kereta. Namun, wanita yang lagak seperti anak itu masuk semula ke kedai kerana mahu menukar duit.

“Di tangannya terdapat sekeping wang RM50 dan lima keping RM10. Dia mahu menukar wang kertas RM100, tetapi saya tiada wang berkenaan. Sementara lelaki tadi berdiri di depan kedai.

“Wanita tadi tidak jadi menukar wang, namun menyatakan ibunya yang berada di dalam kereta sedang sakit dan mahu berjumpa saya. Ketika itu, suami saya sedang melayan lelaki terbabit yang membelek madu lebah,” katanya.

Mangsa kemudiannya meninggalkan wanita terbabit dan segera mendapatkan ‘ibunya’ yang berusia lingkungan 40-an dan berborak mesra tanpa mengesyaki apa-apa.

“Kemudian, wanita itu keluar dari kedai dan memasuki kereta sementara lelaki yang rancak berborak bersama suami terus menghulurkan botol madu lebah kepada saya dan bergegas masuk ke kereta sebelum memecut dalam keadaan bonet kereta terbuka,” katanya yang membuat laporan di balai polis Masjid Tanah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku dan masih dalam siasatan untuk mengenal pasti suspek terlibat.

Menurutnya, lelaki yang dikenal pasti berkulit gelap, berbadan gempal dan berambut ala tentera sementara suspek wanita yang menyamar sebagai anak itu berbadan gempal, berkulit cerah serta berambut pendek dan lurus manakala suspek wanita tidak memakai tudung berambut pendek.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment