Tuesday 25 October 2011

Bom lama dalam timbunan besi buruk



KUALA LANGAT - Sebutir bom lama berbentuk roket dipercayai tinggalan Perang Dunia ke-2, ditemui dalam timbunan besi buruk di sebuah kilang di Olak Lempit, Banting, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan mengesahkan penemuan itu dan mengatakan, bom berkenaan adalah senjata pengeboman yang diletakkan di bawah kapal terbang.

Menurutnya, bom bersaiz 1.06 meter tinggi dengan lebar 0.6 meter itu, ditemui oleh seorang pekerja premis ketika sedang melakukan kerja-kerja mengemas timbunan besi buruk kira-kira jam 9.15 pagi.

“Pekerja premis yang terkejut dengan penemuan itu terus mengasingkan besi buruk untuk mengeluarkan bom.

“Dia kemudiannya menghubungi polis memaklumkan kejadian tersebut,” katanya.

Nordin berkata, Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor dihantar ke tempat itu untuk siasatan lanjut.

“UPB musnahkan bom itu kira-kira jam 1.40 petang tadi (semalam) dan kes ini dianggap selesai,” katanya.

Katanya, timbunan besi buruk itu diimport dari luar negara dan masih belum dapat dikenalpasti berapa lama ia berada di situ bersama bom terbabit.

Menurutnya, polis bagaimanapun memuji tindakan pantas pekerja premis yang memaklumkan kejadian tersebut kepada polis selepas menemui bom berkenaan.

“Orang ramai yang temui objek mencurigakan dipercayai bom lama, dinasihatkan supaya tidak bertindak sendiri. Mereka perlu lapor kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment