Tuesday, 25 October 2011

Diganggu ah long kerana hutang anak



KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri warga emas kini hidup dalam ketaku-tan selepas menerima pelbagai ugutan termasuk rumah disimbah cat merah selepas anak lelaki mereka gagal menjelaskan hutang ah long.

Chan Wooi @ Chap Hup Hui, 73, dan isteri Chong May Thye, 72, mendakwa mereka diugut ceti haram itu agar membayar hutang anak mereka Chan Siew Keong, 43, yang menghilangkan diri sejak dua bulan lepas.

Kakak Siew Keong yang enggan dikenali berkata, kediaman ibu bapanya di Petaling Jaya disimbah cat merah pada Rabu lalu selain menerima nota dalam bahasa Cina bermaksud “awak berhutang wang, awak bayar wang”.

“Keesokan hari bapanya menerima panggilan telefon dipercayai daripada ah long, yang mengugut akan terus mengganggu mereka jika hutang Siew Keong tidak dijelaskan.

“Mereka juga berkata telah mengambil nombor pendaftaran semua kereta yang ada di rumah ibu bapa saya dan tidak teragak untuk merosakkan kereta-kereta itu jika kami tidak melayan permintaan mereka,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam Gerakan, di sini semalam.

Wanita itu juga berkata, keluarga mereka tidak tahu jumlah hutang adiknya dengan ah long terbabit, namun percaya angka mencecah ratusan ribu ringgit.

“Sebelum ini dia pernah banyak kali meminjam wang dari ibu hingga jumlahnya mencapai hampir RM60,000 dan tidak pernah membayar balik, kononnya bagi tujuan perniagaan kosmetik dan salun dijalankan bersama rakan kongsi wanitanya,” katanya.

Katanya, mereka juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu sumber polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya memberitahu kes masih disiasat dan masih mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan mereka sedang menjejaki ah long terbabit serta Siew Keong.- Bernama
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment