KOTA BHARU – Seorang penoreh getah dipenjara 11 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas didapati bersalah merogol gadis lembam berusia 12 tahun di Sungai Sok, Kuala Krai, dua tahun lalu. Ahmad Fitri Yaacob, 24 dari Sungai Sok didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tanpa nombor RPT Kesedar, Sungai Sok, pada waktu siang terhadap seorang gadis kurang upaya berusia 12 tahun 10 bulan, pada 27 Oktober 2009. Hakim Irwan Suainbon dalam penghakimannya berkata, kesalahan itu serius kerana merosakkan masa depan mangsa dan hukuman mengambil kira kepentingan awam. “Ahmad Fitri mengambil kesempatan terhadap mangsa bawah umur. “Perbuatan tersebut menzalimi mangsa. Mengambil faktor itu mahkamah mengenakan penjara 11 tahun dan enam sebatan terhadap Ahmad Fitri,” katanya dalam keputusan pada akhir kes pembelaan, semalam. Dalam hujah pembelaan, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana jenayah seumpama itu kian serius berlaku di Kelantan. “Kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara maksimum 30 tahun dan sebatan,” katanya. Sementara itu, peguam bela Ahmad Fitri, Mohd Zubairi Salleh dalam rayuannya memohon penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya dan akan failkan rayuan ke Mahkamah Tinggi. “Ahmad Fitri sudah berkahwin kini mempunyai seorang anak berusia empat bulan yang menghidapi ketumbuhan pada dahi dan memerlukan penjagaan sepenuhnya kerana saya percaya isterinya tidak mampu menjaga anak mereka seorang diri. “Bayi itu juga memerlukan rawatan berkala di Hospital Kuala Krai dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. Jika mahkamah membenarkan penangguhan ini Ahmad Fitri bersedia untuk melaporkan diri di Balai Polis Kuala Krai jika perlu,” katanya. Menurutnya, jika mahkamah bersetuju dengan permohonan itu pihaknya juga berharap jaminan sedia ada digunakan iaitu jaminan menggunakan geran tanah yang dibuat bapa Ahmad Fitri sebelum ini. Beliau percaya sepanjang perbicaraan kes itu tiada sebarang aduan atau laporan terdapat gangguan dibuat Ahmad Fitri kepada mangsa. Bagaimanapun, Asmah tidak menerima alasan peguam Ahmad Fitri untuk penangguhan hukuman kes berkenaan kerana bayi berkenaan mampu dijaga isteri mangsa. Hakim Irwan kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sehingga rayuan didengar di Mahkamah Tinggi dengan jaminan geran tanah RM12,000. Menurutnya, tertuduh juga perlu melaporkan diri di Balai Polis Kuala Krai sebulan sekali. |
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment