Tuesday, 25 October 2011

Ganja RM44,700 dirampas



ALOR SETAR - Cubaan seorang wanita warga Thailand menyeludup dadah jenis ganja tidak berjaya apabila kegiatannya itu berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah.

Timbalan Pengarah JKDM Kedah, Saidi Ismail berkata, wanita yang menaiki bas ke Johor Baharu itu ditahan berhampiran plaza tol Jitra kira-kira jam 9.10 malam, Khamis lalu oleh pasukan Kastam Unit Narkotik, Alor Setar.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati wanita berusia 28 tahun itu membawa 20 ketulan mampat daun kering yang disyaki dadah jenis ganja seberat 18.634 kilogram (kg).

“Hasil maklumat dari orang awam, kita telah menahan bas berkenaan yang dinaiki oleh 12 penumpang dan mengarahkan kesemua penumpang untuk turun serta mengambil bagasi masing-masing untuk diperiksa.

“Apabila wanita itu membuka beg berkunci yang dibawa, kita mendapati terdapatnya ketulan mampat daun kering yang disyaki dadah,” katanya.

Saidi berkata, ganja yang dibawa wanita itu dianggarkan bernilai RM44,700 dan wanita yang disyaki sebagai suri rumah itu turut meletakkan beberapa helai pakaian di dalam beg troli yang diletakkan di bahagian bagasi bas berkenaan.

Menurutnya, wanita itu akan direman oleh JKDM selama seminggu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atasnya.

“Dadah yang dibawa wanita itu dipercayai untuk pasaran di ibu negara kerana destinasi wanita terbabit adalah Kuala Lumpur.

“Wanita ini akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah berbahaya dan jika disabitkan kesalahan dia boleh dikenakan hukuman mati mandatori,” katanya.

Sementara itu, Saidi berkata, JKDM mengharapkan kerjasama daripada orang awam untuk menyalurkan maklumat penyeludupan melalui talian bebas tol 1-800-88-8855.

Katanya, individu yang menyalurkan maklumat kepada pihak JKDM akan dirahsiakan identitinya.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment