Tuesday 25 October 2011

Langgar murid hingga parah, lelaki dipenjara



KUALA TERENGGANU - Akibat memandu secara cuai yang menyebabkan kecederaan parah kepada dua pelajar tahun dua dalam kemalangan 6 Mei 2008 lalu, seorang pemandu lori terpaksa meringkuk dalam penjara selama sehari dan denda RM5,000 serta lesen memandu kelas E miliknya digantung selama dua tahun bermula semalam.

Hukuman itu dijatuhkan terhadap Razali Zakaria, 39, dari Kampung Kebor Air, Manir, selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu menyebabkan kecederaan parah.

Mengikut fakta kes, tertuduh, pada 6 Mei 2008 kira-kira jam 10 pagi, memandu sebuah lori jenis Nissan UD dalam perjalanan dari arah Setiu ke Kuala Terengganu.

Apabila tiba di hadapan Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Kuala Terengganu, tertuduh telah merempuh bahagian belakang sebuah basikal yang dinaiki mangsa, Ahmad Firdaus Ahmad, 8, dan Muhammad Hafiz Ramli, 8.

Akibat rempuhan dan diseret sejauh kira-kira lima meter, mangsa Ahmad Firdaus patah paha kanan, tulang punggung retak, pundi kencing mengalami luka dalaman serta luka di bahagian badan manakala mangsa, Muhammad Hafiz putus kaki kanan dan cedera di bahagian dada badan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainudin Abdul Ghani di hadapan Majistret, Nor Adila Ab Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment