KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara 18 bulan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencuri sebuah van jenis Nissan Vanette di tempat letak kereta di hadapan KFC Batu Burok, di sini, 4 Oktober lalu.
Bukan itu sahaja, tertuduh, Mohd Rizal Khalid, 33, dari Jalan Pusara, di sini, turut dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan selepas mengaku cuba melarikan diri dari tahanan polis semasa menerima rawatan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, 13 Oktober lalu.
Majistret, Noradila Ab Latif mengarahkan kedua-dua hukuman itu berjalan berasingan selepas tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Sementara itu rakannya, Mohd Robi Che Mohammad, 29, dari Felda Belara, di sini yang dituduh bersama-sama mencuri van berkenaan, mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 1 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainudin Abdul Ghani manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bersama rakannya itu yang disyaki mencuri sebuah van telah ditangkap dan dibelasah oleh seorang penunggang motosikal dan orang ramai, selepas van dipandu terbabas di bahu jalan dalam kejadian di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Rhu Renggeh, Marang.
Susulan tindakan itu, tertuduh mengalami kecederaan pada muka dan kepala serta dihantar ke wad HSNZ untuk menerima rawatan susulan dengan dikawal dua anggota polis, Konstabel Mohd Zulhilmi Jaafar dan Konstabel Afizul Abdul Rahman.
Bagaimanapun, pada 13 Oktober lalu kira-kira jam 9.15 malam, tertuduh bertindak melarikan diri dari wad 7EF dengan tangan masih bergari serta memakai pakaian lokap.
Namun, tertuduh berjaya ditangkap semula tiga jam kemudian di Jalan Pusara, Kuala Terengganu berhampiran kediamannya hasil kecekapan anggota polis dan maklumat orang awam sejurus menyedari kehilangannya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment