Tuesday 25 October 2011

IWK Gombak rugi RM700,000



GOMBAK - Unit Operasi, Indah Water Konsortium (IWK) Gombak mengalami kerugian sebanyak RM700,000 sejak awal Januari hingga Oktober 2011 akibat perbuatan vandalisme dan kecurian peralatan loji rawatan kumbahan najis.

Pengurusnya, Lawrence Dominic Nice berkata, keseluruhan kerugian yang dicatat turut meliputi loji kumbahan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS),

Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Perbandaran Bentong (MPB), Majlis Daerah Raub (MDR) dan Majlis Daerah Kuala Lipis (MDKL) di mana operasi ini diselia di bawah unit operasi Gombak.

Menurutnya, kawasan Ampang mengalami kerugian paling banyak iaitu dianggarkan RM450,000.

“Walaupun kejadian ini berlaku dengan kerapnya sejak akhir-akhir ini, tetapi sukar untuk lakukan tangkapan kerana tiada bukti bahawa kawasan loji ini telah dicerobohi.

“Antara peralatan yang biasa dicuri adalah kabel dan wayar kecil dalam panel. Saya yakin ia dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam perkara tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Lawrence berkata, kesan daripada perbuatan itu menyebabkan operasi loji tergendala selama tujuh hari untuk dibaiki serta pencemaran alam sekitar yang melibatkan sungai dan pengguna.

:“Apabila terdapatnya masalah limpahan najis kumbahan, biasanya pengguna akan menyalahkan IWK sedangkan masalah itu bukanlah berpunca daripada pengurusan IWK.

“Untuk baiki kerosakan pula, kerajaan terpaksa keluarkan kos hingga RM30,000 bergantung kepada kecil dan besarnya kerosakan yang dialami,” katanya.

Katanya lagi, dalam perkara ini IWK kini mendapatkan bantuan polis untuk menyiasat dan menangkap penjenayah di samping bantuan dan maklumat orang awam.

“Pihak syarikat juga dalam perbincangan dan bercadang untuk memberi sagu hati RM1,000 kepada orang ramai yang menjadi saksi sekiranya maklumat disampaikan dapat membantu sehingga tertangkapnya penjenayah.

“Pihak syarikat melalui Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir Mohd Kadir turut berhasrat untuk memberi sijil penghargaan kepada polis sekiranya tangkapan berjaya dilakukan,” katanya.

Lawrence berkata, kawasan Teratai, Ampang adalah kawasan hot spot kepada penjenayah sejak akhir-akhir ini dan beliau sering mendapat aduan orang awam berhubung masalah seperti limpahan najis kumbahan.

“Dalam pertemuan dan perbincangan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang baru-baru ini, satu unit khas akan diwujudkan dalam membantu kes ini dan berharap masalah ini dapat diatasi.

“Masalah ini bukan sahaja melibatkan kerugian kepada syarikat dan kerajaan tetapi telah menjejaskan kehidupan seharian orang ramai. Saya berharap orang awam turut dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat sekiranya ternampak seseorang yang mencurigakan memasuki kawasan loji IWK kepada polis,” katanya.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment