Tuesday 25 October 2011

Dipenjara hanya kerana RM200



AYER KEROH - Akibat meragut beg seorang wanita yang hanya mengandungi wang kira-kira RM200, dua sahabat terpaksa meringkuk dalam penjara selama 40 bulan apabila didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini semalam.

Hukuman dijatuhkan Hakim Ahmad Sazali Omar terhadap Muhammad Shafiq Abdul Rahman, 18, dan Muhammad Akmal Isa, 20, selepas kedua-duanya mengaku bersalah ke atas pertuduhan disabitkan ke atas mereka.

Muhammad Syafiq dari Krubong, di sini dan Muhammad Akmal dari Taman Keramat, Kuala Lumpur membuat pengakuan bersalah tersebut selepas empat orang saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan yang dijalankan dua minggu lalu.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didapati dengan niat curang meragut beg tangan milik S Geeta, 22, berhadapan kedai serbaneka 7-Eleven di Jalan Besar Datuk Dol said, Alor Gajah kira-kira 4.30 petang pada 15 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Terdahulu, peguam bela Andrew Lourdes memohon mahkamah memberikan hukuman ringan terhadap kedua-dua anak guamnya dengan alasan mangsa tidak mengalami kecederaan.

“Mangsa tidak dicederakan malah kerugian dialami mangsa hanya RM200 tetapi telah dipulangkan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat yang mengendalikan kes itu meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

“Mahkamah perlu mengambil kira kekerapan kes ragut yang sentiasa berlaku apatah lagi mangsa-mangsa yang terlibat tidak kira usia,” katanya.

Ahmad Sazali kemudian menjatuhkan hukuman penjara 40 bulan dari tarikh ditangkap pada 15 Jun lalu terhadap kedua-dua tertuduh.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment