Tuesday 25 October 2011

Adakah Libya kini bebas?



LIMA hari selepas dibunuh, mayat Muammar Gaddafi yang mereput masih dipertontonkan kepada orang ramai, termasuk kanak-kanak sehingga hari ini.

Bila dan di mana jenazah pemimpin yang memerintah Libya selama 42 tahun itu akan dikebumikan terus menjadi tanda-tanya, sementara pihak pemberontak dan kerajaan baru bertelagah mengenai perkara tersebut.

Apakah ini sebahagian daripada bentuk kebebasan yang diidamkan rakyat Libya? Bebaskah mereka daripada pemikiran sempit ala golongan barbarian yang kelihatan masih mencengkam mereka?

Pemerintah baru Libya mengumumkan secara rasmi pembebasan negara itu di dalam suasana seakan perayaan kelmarin, sedangkan jenazah Gaddafi, anaknya dan ketua tentera beliau masih terbaring kaku dan semakin membusuk di atas tilam usang di bilik sejuk sebuah pasar lama di Misrata.

Pemimpin berusia 69 tahun tersebut menemui ajal di tangan rakyatnya sendiri selepas ditangkap hidup-hidup di bandar kelahirannya di Sirte, Khamis lalu.

Ya, Gaddafi bukan pemimpin paling ideal. Dia menindas rakyatnya, seperti ditegaskan pemimpin sementara Libya, Mahmoud Jibril semasa mempertahankan tindakan pemberontak mengasari Gaddafi dan menghina jenazahnya.

“Saya faham perasaan anda tetapi apa yang dilalui mereka (pemberontak) sejak 42 tahun lalu adalah jauh lebih teruk daripada itu,” katanya semasa menjawab soalan wartawan mengenai layanan buruk pemberontak terhadap jenazah Gaddafi.

Tetapi apa perbezaan kerajaan baru dan pemberontak Libya dengan Gaddafi jika mereka juga menonjolkan sikap ganas yang sama?

Pembunuhan Gaddafi tanpa mengikut undang-undang menyebabkan negara Barat yang sebelum ini bersorak menyokong pemberontak Libya sepanjang perang lapan bulan lalu, kini bersikap lebih berhati-hati dalam melaungkan sokongan.

Britain, Amerika Syarikat (AS), dan Perancis termalu sendiri kerana perjuangan mereka kononnya untuk mewujudkan sistem demokrasi di Libya kini calar-balar akibat perbuatan pemberontak negara tersebut.

Washington mengeluarkan kenyataan berlapik meminta kerajaan sementara Libya memberi maklumat telus mengenai kematian Gaddafi walaupun AS sendiri melakukan jenayah sama ke atas pemimpin Al-Qaeda, Osama Laden, Mei lalu.

Dan apabila badan bebas antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta Amnesty International: menuntut siasatan dibuat terhadap kematian Gaddafi, pemimpin yang digelar diktator, pastinya ada sesuatu yang tidak kena.

Penerima Hadiah Nobel Keamanan, Desmond Tutu turut mengecam hebat pembunuhan Gaddafi yang dianggap bukan sesuatu untuk diraikan dan menegaskan AS tidak patut berbangga dengan kematian beliau.

“Cara pembunuhan Gaddafi jauh menyimpang daripada niat untuk mewujudkan budaya hak asasi manusia dan demokrasi di Libya,” katanya.

Penduduk di Barat juga seakan terpaku dan tidak percaya dengan apa yang disaksikan di Libya, di mana kematian Gaddafi diraikan dengan cara agak mengerikan.

Ini menimbulkan persoalan paling utama. Adakah tindakan pemberontak Libya ini akan menyebabkan imej Islam, yang sedia tercemar di mata Barat, menjadi semakin buruk?

Bukan sahaja dari segi moral, rakyat Libya juga mungkin akan menyaksikan kepincangan hebat dalam pentadbiran serta politik negara itu dan tidak mustahil perang saudara berpanjangan akan berlaku di Libya.

Ini kerana di sebalik keinginan untuk membiarkan semua orang melihat mayat Gaddafi sebagai bukti kematiannya, punca lain mengapa Gaddafi masih terbaring kaku tanpa pengebumian sempurna adalah perbalahan antara pelbagai puak di mana mayat Gaddafi akan ditanam.

Jika pemimpin baru Libya tidak boleh sependapat mengenai lokasi jenazah Gaddafi perlu dikebumikan, bolehkah mereka sependapat dalam perkara seperti pembentukan kerajaan dan dasar negara?

Bolehkah rakyat Libya menikmati kebebasan diingini dengan kewujudan pelbagai puak yang mempunyai semangat kabilah tinggi di negara itu?

Perkembangan di dunia Arab ini perlu membuka mata dan membuatkan kita lebih menghargai keamanan negara sendiri tanpa membiarkan sikap memusnahkan dalam diri, termasuk amarah dan tamak kuasa, menguasai pemikiran.

Tetapi apa yang lebih penting, kisah Libya ini perlu dijadikan pengajaran bermakna terhadap mereka yang terlalu ghairah mencari ’kebebasan’.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment