Tuesday, 25 October 2011

Operasi cari Zulkifli diteruskan



BALING - Operasi mencari mangsa jatuh lata, Zulkifli Zakaria, 20, masih diteruskan walaupun operasi berlangsung hampir seminggu.

Walaupun operasi menyelamat disertai oleh pasukan penyelamat yang terlatih iaitu dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Unit Marin dan yang terbaru dari Tentera Laut diraja Malaysia (TLDM), Zulkifli masih belum ditemui sehingga laporan ini ditulis.

Walaupun gerakan mencari ini dijalankan secara terus menerus, penduduk setempat sentiasa berikhtiar untuk memastikan mangsa dapat ditemui.

Sehubungan itu, Adun Bayu, Azmi Che Hussin telah melancarkan bacaan Yasin perdana di padang Sekolah Kebangsaan Iboi semalam agar operasi mencari mangsa dipermudahkan.

Azmi berkata, lebih 200 penduduk melibatkan pelbagai kampung berkumpul bagi menjayakan majlis bacaan Yasin itu.

Menurutnya, pasukan penyelamat sukarela pusat khidmat wakil rakyat Dun Bayu bersama penduduk setempat bersepakat menggunakan kayu balak sebagai langkah seterusnya dalam operasi mencari mangsa.

“Kita akan gunakan kayu balak untuk menyekat arus air yang terlalu deras. Keadaan ini akan membolehkan tekanan air kurang seterusnya dapat memudahkan operasi mencari,” katanya.

Dalam pada itu, ketika pasukan menyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa, ada pihak menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan mangsa telah ditemui.

Azmi berkata, dia turut menerima SMS itut ketika berada di Karnival Sepakat Komuniti dan Kepenggunaan 1Malaysia di Kampung Iboi, kelmarin.

“Nasib baik saya tak umumkan kepada orang ramai, kalau tidak, ia pasti akan mengecewakan keluarga mangsa apabila mendapat maklumat yang palsu,” katanya.

Menurutnya, SMS itu mengatakan mangsa dihantar ke Hospital Sungai Petani dan sedang menerima rawatan.

Usaha mencari mangsa turut mendapat perhatian pengamal perubatan tradisional termasuk pengamal perubatan dari agama lain.

Katanya, selaku seorang Islam, pelbagai ikhtiar perlu dilakukan untuk mencari jalan memudahkan operasi mencari mangsa.

“Kita harus ingat, ajal dan maut di tangan Tuhan. Mangsa mungkin masih hidup ataupun sebaliknya. Bila kita dah usaha dan berikhtiar, kita perlu berserah kepada Tuhan,” katanya kepada Sinar Harian.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment