Tuesday 25 October 2011

Polis ditikam dengan gunting



ALOR GAJAH - Kerana mahu memastikan keselamatan penduduk terjamin, seorang anggota polis berpangkat koperal ditikam gunting oleh penjenayah semasa mahu menegurnya di jalan besar Felda Hutan Percha, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, Koperal Nasaruddin Mansor, 50-an, yang cedera di bahagian pelipis mata akibat tikaman berkenaan.

Dia dikatakan pergi ke kawasan berkenaan dengan hanya berpakaian biasa selepas menerima aduan penduduk mengenai seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan tidur di bawah pokok getah dengan memakai topi keledar, di samping sebuah motosikal di situ.

“Sebaik saya keluar ke jalan besar dengan motosikal jenis Honda EX-5, saya lihat lelaki yang didakwa penduduk sedang berjalan kaki memakai topi keledar putih dari arah pam minyak menuju ke sebuah motosikal jenis skuter.

“Niat saya sebenarnya nak bantu dia. Saya terus bertanya apa yang berlaku sebelum lelaki terbabit mengatakan dia kehabisan minyak,” katanya.

Nasaruddin berkata, dia bagaimanapun terkejut apabila lelaki terbabit yang kelihatan gelisah terus menghunus gunting yang terselit di jari tangannya sehingga terkena bahagian tepi sebelah kanan mata Nasaruddin.

“Suspek semakin mengganas dan terus menolak saya dengan kedua-dua tangannya sehingga saya terjatuh ke tebing gaung. Lelaki berkenaan terus merampas motosikal saya dan memecut laju ke arah Solok Menggong,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian, semalam.

Nasaruddin yang bertugas di Balai Polis Hutan Percha dan sudah berkhidmat selama lapan tahun di situ kemudian menerima rawatan di Klinik Kesihatan Hutan Percha, di sini.

“Mujur lelaki itu tak tikam saya dengan gunting itu. Selepas kejadian itu, saya terus menghubungi balai polis tempat saya bekerja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu sebenarnya suspek yang sedang diburu pihak polis atas kesalahan jenayah.

“Skuter yang ditinggalkan lelaki terbabit bagaimanapun dibawa ke balai polis,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang terserempak atau mengenali suspek yang berketinggian 158 sentimeter, berbadan gempal dan berkulit cerah boleh menghubungi balai polis berdekatan.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment