Thursday 29 September 2011

23 pelayan pelanggan warga China, Vietnam ditahan




SEBAHAGIAN daripada wanita warga China dan Vietnam berkhidmat sebagai pelayan pelanggan ditahan dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 29 Sept. - Polis menahan 23 wanita warga China dan Vietnam kerana didapati menyalah guna pas lawatan ke negara ini dengan bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) dan menawarkan khidmat seks kepada pengunjung di sebuah pusat hiburan di Jalan Pudu di sini awal pagi tadi.
Serbuan dijalankan pada pukul 12.45 oleh 25 pegawai dan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman.
Ketua Unit D7 Bukit Aman, Asisten Komisioner Shahrul Nizam Jaafar berkata, semasa serbuan dilakukan, seramai 10 wanita China dan 13 Vietnam berusia 20 hingga 28 tahun sedang leka melayan pelanggan.
"Apabila menyedari premis tersebut diserbu, wanita terbabit cuba melarikan diri tetapi mereka dapat ditangkap kerana anggota kita sudah membuat kawalan rapi di premis lima tingkat berkenaan.
"Selain GRO terbabit, kita turut menahan pemilik premis bersama pengurusnya dan tiga penjaga pusat hiburan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan di sini pagi ini.
Shahrul Nizam berkata, siasatan awal mendapati premis yang sudah beroperasi sejak dua tahun lalu itu ada menawarkan perkhidmatan GRO kepada pelanggan jika terdapat permintaan.
"Jika mendapat tempahan, pemilik pusat hiburan melalui ejen akan menghantar GRO yang diminta ke pusat hiburan terbabit dengan bayaran serendah RM50 sejam.
"Sekiranya pelanggan mahu mendapatkan khidmat seks, mereka akan membawa GRO yang ditempah itu ke lokasi lain dan tempat tersebut masih disiasat," katanya.
Shahrul Nizam memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati GRO terbabit tidak mempunyai permit kerja dan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara ini.
Beliau berkata, seorang wanita yang ditahan juga didapati tidak mempunyai dokumen sah.
Katanya, kesemua wanita yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta permit.

No comments:

Post a Comment