Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, pemandu lori, Wong Chon Lam, 49, maut akibat tersepit di tempat duduk pemandu setelah kenderaan yang dipandu gagal dikawal lalu merempuh sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan.
Saksi kejadian yang dikenali sebagai Syamsul, 40-an, berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila tayar belakang sebelah kanan treler yang membawa muatan penyejuk radiator itu tercabut menyebabkannya berhenti di lorong kecemasan.
Bagaimanapun menurutnya, sebuah motosikal yang mengekori treler dari belakang hilang kawalan ketika cubaannya untuk mengelak melanggar tayar berkenaan menyebabkan penunggangnya, Mohd Razi Hassan tercampak.
“Dalam masa yang sama, muncul lori membawa muatan minyak pelincir dipandu mangsa, dia cuba untuk mengelak kemalangan itu, namun terbabas ke kiri sebelum merempuh bahagian belakang treler berkenaan,” katanya.
Sinar Harian dimaklumkan, mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk maut serta merta di tempat kejadian.
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu mengambil masa kira-kira setengah jam bagi mengeluarkan mayat mangsa.
Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.
Difahamkan, ketika kejadian, Mohd Razi yang mengalami patah kedua-dua kaki dalam perjalanan dari Petaling Jaya untuk balik bercuti di kampungnya di Trolak Timur, Perak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi ketika ditemui mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, kejadian disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
No comments:
Post a Comment