Thursday 29 September 2011

Polis buru tiga penagih tegar






KUALA TERENGGANU 29 Sept. - Polis memburu tiga penagih tegar bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki yang dibelasah dalam pergaduhan di Kampung Batangan, Marang pada 16 September lalu.
Mangsa berusia 37 tahun yang mengalami kecederaan parah dan pendarahan di kepala, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, Selasa lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan memberitahu, tiga penagih tegar yang diburu ialah Mohd. Shahrin Roslan (suspek utama), 25, Saiful Azizul Che Ali, 26, dan Amzul Jusoh, 39.
Sebelum ini polis telah menahan empat orang rakan mereka yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian itu untuk membantu siasatan.
"Siasatan mendapati mangsa dan kumpulan suspek ini merupakan penagih tegar dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, mangsa bersama dua rakannya bertemu sekumpulan lelaki di sebuah kilang baja untuk berbincang mengenai masalah hutang pukul 10 malam pada 16 September sehingga tercetus pergaduhan.
''Dua rakan mangsa terlebih dahulu masuk ke rumah pengawal di kilang itu dan berlaku pergaduhan. Mangsa yang berada di luar tiba-tiba diserang oleh suspek dengan sebatang besi," katanya.
Menurut beliau, mangsa kemudian telah dihantar oleh rakannya ke HSNZ dan meninggal dunia Selasa lalu akibat kecederaan teruk di kepala.
"Ekoran kejadian itu, polis telah memburu kumpulan penagih terbabit dan berjaya menahan empat daripada mereka bagi membantu siasatan," katanya.

No comments:

Post a Comment