Thursday 29 September 2011

Ahli perniagaan bebas tuduhan cabul



IPOH - Mahkamah Majistret di sini, semalam membebaskan dan melepaskan seorang ahli perniagaan berusia 47 tahun daripada tuduhan mencabul seorang wanita pada Disember tahun lalu.

Majistret Noor Akmal Mustafa Kamal membuat keputusan itu ke atas Noh Ahmad tanpa memintanya untuk membela diri di atas kesalahan tersebut.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

Noh dituduh melakukan perbuatan itu pada 24 Disember 2009 kira-kira jam 12 tengah hari di dalam sebuah kereta jenis Mercedez Benz berwarna biru ketika bersiar-siar di sekitar Ipoh.

Tertuduh didakwa cuba menggunakan kekerasan jenayah ke atas seorang wanita yang juga merupakan bekas pekerjanya dengan niat untuk mencabul kehormatannya dengan memegang tangan, peha dan badan wanita terbabit.

Noor Akmal dalam penghakimannya berkata pihak pendakwa gagal untuk membuktikan elemen jenayah yang digunakan ke atas wanita terbabit.

Selain itu, beliau berkata kenyataan yang diberikan pengadu dan saksi sepanjang perbicaraan dijalankan tidak konsisten.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nor Abdurrahim manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu.

No comments:

Post a Comment