Thursday, 29 September 2011

Bayi 4 bulan nyaris rentung



KANCHONG DARAT - Tindakan pantas seorang ibu berjaya menyelamatkan bayinya yang baru berusia empat bulan daripada rentung dalam satu kebakaran membabitkan sebuah rumah di Jalan Kenanga, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, bayi lelaki berkenaan sedang tidur di tingkat atas rumah, lokasi dipercayai api mula marak.

Ibu bayi, Che Mazura Che Daud, 27, berkata, semasa kejadian, adik ipar bersama dua lagi anaknya masing-masing berusia antara 12 hingga lapan tahun turut berada dalam rumah itu.

Menurutnya, sebaik menyedari api mula marak, dia yang ketika itu sedang menyidai pakaian di luar rumah bergegas mendapatkan bayinya.

Sementara, ibu mertua, Toryati Kadi, 54, yang ketika itu sedang menyapu sampah menyelamatkan tiga yang lain.

“Syukurlah semuanya selamat, bayi saya hanya cedera di bahagian pipi akibat terkena bahang api,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Che Mazura berkata, api marak begitu pantas menyebabkan usaha menyelamatkan barang berharga gagal, bagaimanapun Toryati sempat mencampakkan dompetnya yang berisi sejumlah wang dan MyKad ke luar rumah.

“Saya tidak sangka rumah yang didiami bersama keluarga ibu mertua musnah begitu saja, meskipun masih terkejut dengan kejadian ini, kami bersyukur kerana semua selamat,” katanya.

Penolong Penguasa Balai Bomba Banting, L Prakash ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dua jentera bersama 14 anggota dari Balai Bomba Banting dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 10.45 pagi.

Katanya, api berjaya dikawal sekitar jam 11 pagi, kerja mengawal dan memadam api berjalan lancar.

“Selain barangan elektrik dan kelengkapan rumah, sebuah kenderaan dan motosikal turut hangus.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca kejadian dan jumlah kerugian yang ditanggung,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Morib, Hasiman Sidom berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan peruntukan rumah melalui bantuan kecemasan bagi menggantikan kediaman keluarga berkenaan yang musnah.

“Saya telah memaklumkan kejadian ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan susulan� pengagihan bantuan bagi meringankan beban keluarga,” katanya.

No comments:

Post a Comment