Oleh Fakhrurrazi Usuldin
bhnews@bharian.com.my
2011/09/30
ABDUL AZEEZ menyambut Normazawati Wong yang tiba di LCCT, semalam.
SEPANG: Mangsa sindiket klon kad kredit, Normazawati Wong Abdullah, 49, yang terkandas di Ho Chi Minh, Vietnam selepas tamat hukuman penjara hampir tujuh tahun pada Januari lalu, tiba di tanah air semalam dengan membuat 'sujud syukur' sebaik menjejak kaki di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini.
Beliau turut disambut oleh Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Normazawati berkata, sepanjang berada di sana beliau menangis mengenangkan nasib diri yang dianiaya sindiket itu.
“Serik...siapa tak serik merengkok di dalam penjara. Dalam penjara saya hanya diberi makan nasi tanpa lauk sehari dua kali dan tidak boleh solat kerana peraturan di sana tidak membenarkan penghuni mengamalkan agama masing-masing dan jika tertangkap akan dikenakan hukuman atau ditambah kerja,” katanya yang pernah bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur sebelum ke Vietnam.
Sengsara hidupnya sebagai tahanan di Vietnam bermula selepas menerima pelawaan dua rakan menyertai lawatan ke negara itu pada hujung 2004.
Setiba di negara berkenaan, beliau dijemput kenalan dua rakannya itu, warga Vietnam, dan dibawa ke sebuah hotel.
Keesokannya, warga Vietnam itu memberikan Normazawati satu pasport dan kad kredit milik orang lain dan diminta membeli kamera, kamera video dan jam di sebuah pasar raya menggunakan kad kredit berkenaan.
Bagaimanapun, dia ditahan petugas keselamatan pasar raya sama apabila membeli barangan sama pada hari kedua dan diserahkan kepada polis kerana menggunakan kad kredit palsu manakala dua rakan yang membawanya itu menghilangkan diri.
Akibatnya ibu tunggal itu dihukum 10 tahun penjara tetapi tempoh itu dipendekkan kepada enam tahun 11 bulan berakhir Januari lalu apabila dia berkelakuan baik dan membantu pihak penjara dalam urusan perubatan di situ.
Bagaimanapun, beliau terkandas selepas dibebaskan kerana tiada dokumen pengenalan diri manakala pihak keselamatan Vietnam tidak membenarkan beliau keluar kecuali membayar denda itu. Nasibnya hanya dibela KP1M selepas anak sulungnya meminta bantuan.
“Saya sentiasa ingat kepada Allah dan berdoa semoga saya dapat bertemu anak-anak kembali dan saya menasihatkan kepada rakyat Malaysia khususnya ibu tunggal supaya tidak terpedaya dengan janji manis golongan tertentu yang ingin mengambil kesempatan di atas kesempitan hidup yang dialami,” katanya yang mempunyai lima anak menerusi beberapa perkahwinan.
Abdul Azeez berkata, setakat ini pihaknya cuba sedaya upaya membantu golongan teraniaya terutama ibu tunggal yang ditipu sindiket antarabangsa.
“Ini salah satu program kerjasama Wanita UMNO dan KP1M bagi membantu golongan teraniaya terutama ibu tunggal bagi menjejaki mangsa keldai dadah, kad kredit dan sebagainya,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Siti Ansyakinah berkata, beliau gembira dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu membawa pulang ibunya ke Malaysia terutama KP1M dan Wanita UMNO yang membawanya ke Vietnam kelmarin.
“Bagaikan mimpi kerana sudah terlalu lama tidak bertemu ibu,” katanya yang berkerja sebagai kakitangan awam dan berhempas pulas mengumpul wang bagi membayar denda yang dikenakan ke atas ibunya sebanyak 373,965,810 Dong (RM60,208.50) sebelum dibenarkan pulang ke tanah air.
No comments:
Post a Comment