Thursday, 29 September 2011

Bumbung rumah tercabut



BENUT - “Keadaan ketika itu sangat senyap, tiba-tiba berubah menjadi ribut,” kata Sabrah Tohamat, 45, menceritakan detik cemas dihadapinya dalam kejadian ribut di Kampung Haji Ariff, di sini, malam kelmarin.

Kejadian yang berlaku begitu pantas itu itu menyaksikan hampir keseluruhan bumbung zink rumah diterbangkan angin kencang.

Menurut Sabrah, kejadian yang berlaku pada jam 12 tengah malam itu, hanya disedari selepas bunyi kuat zink terjatuh.

Katanya, dia bergegas mengejutkan empat anaknya yang sedang tidur di dalam bilik bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kami terus ke bahagian ruang tamu di bahagian hadapan rumah untuk mendapatkan telefon. Keadaan tiba-tiba menjadi panik apabila bumbung zink di ruang tamu turut diterbangkan angin kencang,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Haji Ariff, Benut, di sini, semalam.

Menurutnya, dia sempat mematikan suis utama bekalan elektrik bagi mengelakkan kejadian yang lebih teruk berlaku seperti kebakaran.

“Kejadian itu berlaku begitu pantas, tiada sebarang tanda angin kencang akan melanda pada mulanya.

“Tiba-tiba sahaja angin berderu kuat seperti bunyi helikopter mendarat, dalam sekelip mata sahaja bumbung zink rumah diterbangkan angin,” katanya.

Sabrah yang masih terkejut dengan kejadian itu memberitahu mereka sekeluarga hanya mampu menunggu sehingga waktu siang untuk meminta bantuan.

“Selepas kejadian itu, hujan turun disertai dengan petir dan kilat,” katanya.

Sabrah bersyukur kesemua anaknya selamat dan tidak mengalami kecederaan.

“Sementara menunggu kerja-kerja membaiki bumbung rosak ini, kami sekeluarga akan tinggal di rumah emak mertua yang tidak jauh dari sini,” katanya.

No comments:

Post a Comment