Thursday, 29 September 2011

Mati berjoging

KANGAR: Seorang warga emas yang sedang berjoging sambil meredah laluan berbukit untuk menyihatkan tubuh badan ditemui maut di Pusat Rekreasi Bukit Ayer, Sungai Batu Pahat, petang kelmarin.
Mangsa, Teh Chin Geng, 68, dari Taman Pengkalan Asam, di sini, dikatakan mengalami sesak nafas sebelum rebah sewaktu berjoging mendaki bukit bersama sekumpulan rakan dari Kelab 4H, kira-kira jam 5.30 petang.

Mayat mangsa yang berada pada ketinggian 50 meter di Bukit Ayer itu kemudian dibawa turun oleh pasukan penyelamat dengan bantuan orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat.

Anak mangsa, Teh Joo Ghee, 32, berkata bapanya yang juga seorang mekanik kerap berjoging bersama Kelab 4H dan lokasi utama mereka adalah laluan berbukit termasuk kawasan rekreasi Bukit Ayer.

“Kumpulan ini banyak meluangkan masa pada sebelah petang dengan berjoging dan meredah bukit. Bapa sudah menyertainya sejak beberapa tahun lalu, tetapi semalam (kelmarin) adalah joging terakhir untuknya sebelum menemui ajal,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, bapanya mengadu penat dan meminta rakan meneruskan pendakian sebelum lelaki itu dilihat rebah sambil mengadu sesak nafas di laluan agak curam dan diberi pertolongan kecemasan.


Katanya, dia yang berada di rumah menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 6 petang sebelum terus bergegas ke kawasan Bukit Ayer terbabit untuk melihat apa yang berlaku.

Sebaik tiba, Teh berkata, beberapa petugas HTF dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kelihatan sedang membantu bapanya yang masih tidak sedarkan diri sebelum disahkan sudah meninggal dunia.

No comments:

Post a Comment