Thursday 29 September 2011

Kaki judi lari lintang pukang



PUCHONG – Kaki judi yang leka mempertaruhkan wang masing-masing di sebuah pusat snuker di Jalan Kenari 3 di sini bertempiaran lari lintang pukang sebaik menyedari premis terbabit diserbu pihak berkuasa, malam kelmarin.

Difahamkan, premis terbabit menjadi tumpuan kerana pengusaha menawarkan hadiah cabutan bertuah mingguan RM3,000 bagi mereka yang membelanjakan sekurang-kurangnya RM50 di pusat perjudian itu.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Ahmad Hasan berkata, serbuan bersama empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan di tiga lokasi berasingan membabitkan kompleks perniagaan.

Katanya, serbuan pertama menemukan pihaknya dengan pusat siber dipercayai menjalankan kegiatan perjudian di premis snuker.

“Sebanyak 41 set komputer dirampas dan premis terletak di tingkat tiga bangunan itu disita kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah,”katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, serbuan kedua di Kompleks Puchong Perdana dan pusat beli-belah South City Plaza, Seri Kembangan berjaya merampas masing-masing 45 dan 41 set komputer yang dipercayai turut digunakan untuk perjudian.

“Sebanyak 127 set komputer berjaya dirampas manakala ketiga-tiga premis disita.Operasi bermula jam 8 malam berakhir kira-kira jam 12 tengah malam,”katanya.

No comments:

Post a Comment