Thursday 29 September 2011

Ibu tunggal terlepas hukuman mati



PULAU PINANG 29 Sept. - Seorang ibu tunggal terlepas daripada hukuman mati di tali gantung setelah mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan pindaan memiliki 37.02 gram heroin yang disimpan di dalam peti simpanan sebuah bank di sini, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Nurmala Salim bagaimanapun menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atas Lim Ah Moi, 51, mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta yang sama.
Beliau memerintahkan Ah Moi menjalani hukuman penjara tersebut berkuat kuasa mulai tarikh dia ditangkap pada 5 Disember 2008.
Anak sulung Ah Moi, Hwei Wen Chui, 30, yang turut didakwa atas tuduhan sama dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah setelah tuduhan terhadapnya ditarik balik oleh pihak pendakwaan.
Mereka berdua tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila hukuman tersebut dibacakan kira-kira pukul 3.30 petang.
Mereka yang diwakili peguam K. Simon Murali sebelum ini didakwa mengikut tuduhan asal Seksyen 39B(1)(a) akta itu bagi kesalahan itu dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.
Mengikut pertuduhan pindaan, kedua-dua mereka didakwa memiliki heroin berkenaan kira-kira pukul 11.20 pagi, 5 Disember 2008 di No. 44, RHB Bank Bhd., Lebuh Pantai di sini.

No comments:

Post a Comment