Thursday, 29 September 2011

Rumah baru hangus terbakar



JANDA BAIK – Seorang warga emas tergamam apabila dimaklumkan rumah miliknya di No 425 Kampung Janda Baik dekat sini terbakar kira-kira jam 6.40 petang kelmarin.

Mangsa, Misnah Ahmad, 61, berkata, ketika kejadian berlaku dia sedang bekerja di sebuah resort.

Menurutnya, sejak empat hari lalu, dia meninggalkan rumah untuk menjalankan tugas sebagai pembantu tukang masak memandangkan terdapat peserta kursus di resort terbabit.

“Saya benar-benar tidak menyangka kejadian ini berlaku kerana sebelum meninggalkan rumah, saya sudah pastikan semua peralatan elektrik ditutup kecuali peti ais.

“Apa yang menyedihkan kami sekeluarga ialah hampir keseluruhan bahagian rumah hangus dan tiada barang sempat diselamatkan termasuk sebuah motosikal jenis Yamaha SS dan dokumen penting,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata demikian ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Datuk Dr Ng Keong Chye dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Janda Baik, Zahari Arop.

Misnah berkata, mereka sekeluarga bersyukur kerana ketika kejadian berlaku semua ahli keluarga tiada di rumah termasuk suaminya yang berada di Perak dan anaknya sedang belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurutnya, kejadian itu benar-benar memberi kesan kepada mereka sekeluarga memandangkan rumah itu baru siap dibina pada 2009 lalu.

“Memandangkan rumah ini terletak di atas bukit, kos membinanya agak tinggi dan saya juga terkilan kerana koleksi pinggan mangkuk yang dikumpul sejak dahulu lagi turut musnah,” katanya.

Sementara itu, Keong Chye berkata, pihaknya akan meminta bantuan dari Kerajaan Negeri untuk meringankan beban dihadapi Misnah sekeluarga.

No comments:

Post a Comment