YAN - Tanpa menghiraukan kudrat diri yang sudah bergelar warga emas, seorang nenek sanggup terjun ke dalam terusan bagi menyelamatkan cucunya yang hilang selepas terjatuh ke dalam terusan itu di Kampung Sungai Lentang, Ulu Sedaka di sini kelmarin.
Semasa kejadian pada pukul 5.30 petang, Halimah Din, 68, hanya memikirkan untuk menyelamatkan cucunya, Mohamad Fardinie Zamri, 5. Terusan itu mempunyai kedalaman hampir dua meter.
"Sebelum terjun mak cik tidak fikir apa-apa kecuali mahu menyelamatkan cucu. Mak cik selam selama lima minit sebelum timbul ke permukaan air namun hampa tidak jumpa cucu mak cik.
"Mak cik selam lagi beberapa kali selepas itu namun masih gagal mengesan kedudukan cucu kerana air keruh dan dalam," cerita wanita itu ketika ditemui pemberita di rumah anaknya, Saridah Harun, 36, di sini semalam.
Bagaimanapun, Halimah yang bekerja bendang memberitahu, selepas hampir setengah jam mencari, Mohamad Fardinie kemudian ditemui oleh penduduk kampung yang turut membantunya terjun ke dalam terusan itu bagi mencari cucunya itu.
Namun ketika ditemui kanak-kanak itu sudah tidak bernyawa.
Mohamad Fardinie merupakan anak pasangan Saridah, seorang suri rumah dan Zamri Ahmad, 39, seorang anggota tentera di Kem Sungai Petani dekat sini.
No comments:
Post a Comment