Tuesday, 27 September 2011

Amalan rasuah menular di Iraq



BAGHDAD 27 Sept. - Rasuah yang menular dalam seluruh jentera kerajaan Iraq menjejaskan pembangunan dan melembapkan usaha untuk meningkatkan perkhidmatan awam, menurut laporan Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG), semalam.
ICG yang beribu pejabat di Brussels memberi kritikan tajam itu kira-kira dua minggu selepas ketua agensi antirasuah Iraq, Rahim al-Uqailee meletakkan jawatan, dengan menyebut tentang campur tangan politik dalam tugasnya dan menggambarkan rasuah sebagai 'sebahagian perjuangan untuk merebut kuasa'.
Menurut laporan setebal 38 muka itu, kerajaan Baghdad berjaya mengurangkan keganasan di seluruh Iraq sejak beberapa tahun lalu, tetapi 'membiarkan rasuah berakar umbi dan menular dalam seluruh institusinya'.
"Perkhidmatan awam terus dibelenggu pelbagai kelemahan serius, terutamanya rasuah meluas yang merebak seperti virus dalam seluruh institusi kerajaan semasa tempoh huru-hara yang berlarutan sehingga 2008," lapor ICG.
Menurutnya, institusi antirasuah Iraq terjejas disebabkan campur tangan, manipulasi dan sikap enggan berkompromi kerajaan, kerangka undang-undang yang lemah dan ancaman keganasan yang berterusan.
ICG berkata, Parlimen berpecah mengikut puak, manakala sistem kehakiman 'terlalu mudah tunduk kepada tekanan politik'.
"Kesannya sangat ketara: berbilion dolar digelapkan daripada dana kerajaan, kebanyakannya disebabkan kelemahan dalam sistem pemerolehan kerajaan; parti-parti politik menganggap kementerian sebagai akaun bank persendirian; manakala nepotisme, rasuah dan penggelapan wang berlaku secara berleluasa," menurut laporan itu.
ICG menyifatkan masalah itu sebagai antara punca taraf hidup rakyat Iraq merosot, malah pada paras lebih rendah jika dibandingkan dengan situasi ekonomi sebelum ini.
"Keadaan itu mencakupi hampir seluruh aspek kehidupan, termasuk sektor kesihatan, pendidikan dan tenaga elektrik, yang kesemuanya menunjukkan prestasi tidak menggalakkan meskipun bajet ditingkatkan dengan ketara," menurut ICG.
Organisasi itu mengesyorkan Iraq mengukuhkan kerangka antirasuahnya, mewajibkan parti politik menyiarkan akaun tahunan yang menyenaraikan sumber pendapatan dan perbelanjaan, meminda undang-undang kecil Parlimen dan menyeragamkan proses perundangan. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment