Tuesday 27 September 2011

Pelajar dituduh pecah rumah



AYER KEROH - Seorang pelajar tingkatan satu dituduh di Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana memecah masuk sebuah rumah dan mencuri pelbagai barangan bernilai RM3,500, Ogos lalu.

Pelajar berumur 13 tahun itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Muzila Mohamed Arsad.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan pecah rumah milik Nurhidayah Roslan, 26, di Kampung Jambatan Duyong di sini, kira-kira jam 4.45 petang pada 19 Ogos 2011.

Pelajar lelaki terbabit dituduh mencuri tiga utas rantai leher emas, empat gelang tangan emas, dua bentuk cincin emas, dua gelang kaki emas, tiga telefon bimbit, aksesori pengantin dan wang tunai RM250 yang keseluruhannya bernilai RM3,500.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Muhamad Juhari Haron ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM2,000 terhadap tertuduh.

Muzila kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dan menetapkan menetapkan 4 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendengar laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

No comments:

Post a Comment