Tuesday 27 September 2011

Reman pegawai SPRM dilanjut, wang ditemui



KUALA LUMPUR 27 Sept. - Tempoh tahanan reman tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disyaki menyamun seorang pengurup wang rakyat asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 September lalu, dilanjutkan tiga hari lagi sehingga esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya juga telah menemui sejumlah wang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah wang itu kerana masih dalam siasatan.
Tambahnya, sehingga kini siasatan terhadap ketiga-tiga pegawai berusia 20 hingga 35 tahun itu berjalan lancar.
"Kita telah sambung reman pegawai berkenaan kerana masih banyak lagi perkara yang perlu disiasat. Apabila siasatan selesai polis akan mendakwa mereka mengikut pertuduhan yang sesuai.
"Kita juga masih mencari dua suspek lain untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh.
Polis Selangor pada Jumaat lalu telah mengedarkan gambar dua lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes tersebut.
Lelaki tersebut T. Sritharan, 32, dan D. Nagarajan, 34, yang masing-masing beralamat terakhir di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dan Bandar Sri Petaling, Kuala Lumpur.
Sementara itu, menurut kenyataan SPRM yang dikeluarkan hari ini, siasatan dalaman bagi kesalahan ketiga-tiga pegawai itu telah selesai dijalankan oleh Lembaga Tatatertib SPRM.
"Hasil mesyuarat, lembaga berkenaan telah membuat keputusan ke atas penjenisan kesalahan terbabit iaitu kesalahan serius di bawah Peruntukan 37 Peraturan-peraturan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1998.
"Bagaimanapun, siasatan dan tindakan yang diambil tidak melibatkan atau menjejaskan siasatan pihak polis," katanya.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment