Tuesday, 27 September 2011

Polis rampas mesin judi RM1.2j



ALOR SETAR - Taktik licik penganjur pusat judi hanya memulakan operasi selepas tengah malam untuk mengelak dari dikesan pihak berkuasa tidak berhasil apabila ia berjaya dihidu polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, serbuan yang dilakukan pada waktu itu membolehkan polis merampas lebih banyak mesin judi pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, tindakan menyerbu premis yang disyaki menawarkan perkhidmatan judi secara talian pada waktu tengah malam membuahkan hasil apabila merampas 4,404 mesin judi bernilai lebih RM1.2 juta sehingga Ogos lalu berbanding 2,407 mesin pada tahun lalu.

Menurutnya, polis turut mengesan kebanyakan penganjur premis judi menggunakan pendekatan atau modus operandi yang pelbagai termasuk mengubah lokasi untuk mengelak dari dikesan.

“Mesin judi dirampas di rumah perjudian terbuka dan kafe siber yang menyalahgunakan lesen perniagaan dengan menawarkan khidmat perjudian.

“Sebanyak 727 tangkapan dibuat di premis perjudian melibatkan rampasan 3,699 mesin judi dan 327 komputer dengan 93 tangkapan di siber kafe,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, semalam.

Zakaria berkata, daerah Kuala Muda mencatatkan jumlah tertinggi dengan 264 kes dan rampasan 1,384 mesin dengan diikuti daerah Kota Setar sebanyak 265 tangkapan dan 1,306 mesin dirampas.

Menurutnya, dalam tempoh yang sama mereka turut mengemukakan permohonan 150 kes pemotongan elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap premis pusat judi.

No comments:

Post a Comment