Tuesday 27 September 2011

Suami isteri leka lepas gian




Yap Toon Khuan (kanan) melihat sebahagian penagih yang ditahan dalam Ops Tapis di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, di Kuantan, kelmarin.


KUANTAN 27 Sept. - Sepasang suami isteri berumur sekitar 30-an antara 31 penagih dadah termasuk dua pengedar berjaya ditahan polis dalam Ops Tapis Khas di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini malam semalam.
Dalam operasi selama sejam yang berakhir pukul 10.30 malam itu, pasangan tidak mempunyai anak terbabit ditahan ketika leka melepaskan gian dadah jenis heroin bersama penagih lain di kawasan tersebut.
Wanita itu semasa ditahan mengaku menagih sejak berkahwin pada 1998 dan datang dengan suaminya ke kompleks pendaratan ikan tersebut setiap malam hanya semata-mata mahu melepaskan gian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supritendan Yap Toon Khuan berkata, turut diberkas ialah dua pengedar berumur 45 dan 41 tahun disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, penahanan itu dibuat selepas pihaknya memeriksa 39 individu dan lapan daripada mereka negatif manakala 31 lagi positif ujian air kencing.
"Semua yang ditahan berumur 24 hingga 45 tahun. Seramai 24 orang positif opiat (heroin) dan tujuh lagi metamfetamin (syabu) termasuk seorang wanita serta empat nelayan warganegara Myanmar.
"Polis juga memberkas dua pengedar selepas mereka didapati masing-masing memiliki kira-kira 30 gram dadah dipercayai heroin dan seorang lagi memiliki 25 gram dadah jenis sama serta 0.8 gram dipercayai syabu.
"Turut dirampas ialah wang RM641 dipercayai hasil jualan dadah kepada penagih yang datang melepaskan gian di sini," katanya.
Kata beliau, nilai dadah yang dirampas daripada dua pengedar tersebut dianggar bernilai RM5,550 manakala para penagih yang ditahan pula terdiri daripada buruh dan nelayan dari sekitar daerah ini.
Tambahnya, lokasi tersebut merupakan tempat popular dalam kalangan penagih dan pihaknya membuat intipan selama dua minggu sebelum melakukan serbuan dengan kekuatan 45 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.
"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) manakala dua pengedar itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Utusan Malaysia Online - Pahang:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment