Tuesday 27 September 2011

Tiga sahabat dihukum gantung




MOHD. Naziezul Ibrahim, Wan Muhamad Hanisan Wan Ismail (depan) dan Azizul Fahmie Mamat (kiri) berjalan keluar selepas dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/AIZZUL A. MAJID


KOTA BHARU 27 Sept. – Tiga sahabat masing-masing dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis methampathamine seberat 18.77 gram, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan Mohd. Naziezul Ibrahim, 31; Wan Muhamad Hanisan Wan Ismail, 31, dan Azizul Fahmie Mamat, 27, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Seorang rakan mereka, Jaffri Jaafar, 31, sebelum ini telah dibebaskan atas tuduhan yang sama.
Ketiga-tiga lelaki tersebut disabitkan bersalah mengedar dadah tersebut di kawasan tempat letak kereta, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) kira-kira pukul 8.30 malam, 31 Mei 2008.
Mereka bertiga didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Rehan Mohd. Aris, sementara Mohd. Naziezul diwakili peguam, Mashitah Mohd. Noh, manakala peguam Zaidan Ali mewakili Wan Muhamad Hanisan dan Azizul Fahmie.
Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Mashitah menyatakan, anak guamnya dari Pasir Mas dan masih bujang, bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM600 sebulan selain merupakan penanggung kedua-dua ibu bapanya.
Zaidan pula memberitahu, ekoran kes itu, isteri Wan Muhamad Hanisan telah memohon cerai daripada suaminya yang bekerja sebagai mekanik motosikal dengan pendapatan RM500 sebulan.
Sementara Azizul Fahmie yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM600 sebulan, menyara bapanya yang tidak bekerja selepas kematian ibunya.
Hakim Ahmad Zaidi dalam penghakimannya menyatakan, pihaknya tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menjatuhkan hukuman mandatori tersebut terhadap tertuduh-tertuduh.
‘‘Selepas meneliti fakta kes kedua-dua pihak, kita sedia maklum tidak ada pilihan lain di bawah kes yang dibicarakan ke atas ke tiga-tiga tertuduh ini, hukumannya satu dan telah ditetapkan ke atas mereka iaitu gantung sampai mati,’’ katanya.
Sebaik sahaja keputusan tersebut dibacakan, ketiga-tiga tertuduh menundukkan wajah ke lantai sambil mengesat air mata. Beberapa wanita dipercayai ahli keluarga mereka juga teresak-esak menangis.
Seorang wanita dipercayai ibu kepada salah seorang tertuduh turut terpaksa dipapah keluar oleh ahli keluarga setelah rebah.
Suasana turut menjadi tegang seketika apabila beberapa lelaki menolak kamera beberapa petugas media bagi menghalang wajah tertuduh dirakamkan.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment