KUALA KANGSAR: “Ikutkan hati saya mahu memijak-mijaknya sehingga mati, tetapi sebagai umat Islam, saya percaya dia akan mendapat balasan setimpal atas perbuatan kejam ini di akhirat kelak,” kata Nisa Abdul Karim, 47, ibu kepada Nur Shafiqa Ismail, 11, yang dijumpai mati dibunuh di kawasan ladang sawit Kampung Langkor, Kati, dekat sini, semalam.
Biarpun keputusan ujian deoxyribonucleic acid (DNA) hanya akan diketahui tiga hari lagi, Nisa berkata, selain pengecaman awal melalui pakaian mangsa, naluri ibunya kuat mengatakan mayat hampir reput ditemui kelmarin adalah jasad anak bongsunya.
“Saya mengecam pakaian baju kurung berwarna putih corak bunga berwarna merah dan hijau, kain hijau dan selendang merah dipakai mangsa adalah milik ‘adik’ kerana saya yang memakaikan pakaian itu pada pagi hari sama dia dilaporkan hilang.
“Biarpun hanya ujian DNA dapat memastikan mayat itu anak saya berikutan pengecaman fizikal tidak dapat dibuat kerana sudah reput, naluri saya sebagai ibu mengatakan ia adalah adik,” katanya sebak.
Dia ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar selepas sampel darahnya diambil untuk menjalani ujian DNA bagi pengesahan identiti mayat.
“Saya berserah kepada Allah jika takdir menentukan mayat itu adalah anak saya dan reda menerimanya. Tetapi, saya tidak boleh bayangkan, kalau dapat (pembunuhnya), memang saya tidak akan maafkan. “Adik budak lagi, apa yang dia tahu,” katanya sebak sambil ditenteramkan beberapa ahli keluarga termasuk empat lagi anaknya.
Justeru, biarpun reda dan anggap apa yang berlaku satu ujian Allah, Nisa berkata, hanya satu hukuman boleh dijatuhkan terhadap suspek iaitu gantung sampai mati.
Katanya, arwah kembali ke Kampung Talang Masjid pada petang Ahad, tetapi kira-kira jam 7.30 pagi keesokan harinya kembali ke Kampung Chuar dengan membawa jam dinding sebagai hadiah sambil meluahkan perasaan sedih dengan layanan ibu saudara yang seperti membencinya.
“Adik cakap dia membelikannya kerana rumah saya tiada jam dinding. Kedatangannya pada pagi itu mengejutkan saya dan kira-kira dua jam kemudian saya memintanya kembali ke Kampung Talang Masjid kerana dia perlu pergi ke sekolah hari itu,” katanya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment