Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam yang mana dipercayai kesemua penghuninya sedang nyenyak tidur.
Difahamkan, keluarga tersebut tinggal sehelai sepinggang selepas tidak sempat untuk menyelamatkan barang-barang berikutan keadaan api marak terlalu cepat.
Bagaimanapun, kebakaran itu disedari Anuar Jamian, 37, apabila terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi pelik yang kuat dari arah dapur.
Anuar berkata, dia yang tertidur di ruang hadapan bergegas ke arah dapur dan terkejut mendapati sebahagian dapur telah dijilat api.
Menurutnya, dalam keadaan panik dia segera mengejutkan seluruh ahli keluarganya untuk menyelamatkan diri.
“Ketika kejadian kampung ini hujan lebat dan ada jiran memaklumkan rumah saya terbakar selepas satu dentuman kuat petir.
“Kerana terlalu letih selepas pulang berbelanja di Pekan Sungai Balang, kami sekeluarga tidur awal,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, dia juga tidak mengetahui keadaan hujan lebat kerana tidur nyenyak dan mula terjaga apabila terdengar bunyi pelik dari dapur.
Lazimnya, dia dan isteri, Norhaizan Kasim, 37, tidur awal dan akan bangun seawal jam 3 pagi untuk membuat persiapan berniaga warung yang terletak berhampiran rumahnya.
Meskipun masih terkejut dengan insiden tersebut, namun dia tetap reda dengan ujian itu.
“Saya sangat bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat walaupun tidak sempat menyelamatkan barang-barang.
“Saya sangat sedih kerana rumah pusaka arwah ayah yang sudah berusia lebih 40 tahun ini dan menjadi tempat berteduh sekeluarga telah musnah terbakar,” katanya.
Katanya lagi, buat masa ini dia dan keluarga menumpang di rumah bapa saudara yang terletak berhampiran rumahnya itu.
Dalam pada itu, insiden yang menimpa Anuar sekeluarga mendapat perhatian daripada PKR Cabang Muar yang menyampaikan sumbangan oleh Ketuanya, Yatim Sarpan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Muar, Ismail Mahmod mengesahkan kejadian tersebut dan punca kebakaran masih dalam siasatan
No comments:
Post a Comment