Tuesday, 27 September 2011

Pekerja dakwa dipukul polis disiasat



KUBANG PASU 27 Sept. - Pihak polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan seorang pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal di sini dipukul lima lelaki dipercayai anggota polis di Taman Bahagia, Kodiang, Sabtu lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata, tindakan tegas akan diambil jika didapati anggota polis tersebut melakukan jenayah terbabit.
"Mana-mana anggota polis yang melakukan kesalahan tidak akan dilindungi, jika mereka lakukan kesalahan kita akan ambil tindakan.
"Anggota keselamatan negara kita adalah professional jadi jika ada dalam kalangan mereka terlibat dengan jenayah kita tidak akan bertolak ansur," katanya kepada pemberita selepas melawat Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai dakwaan pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal terbabit dipukul lima lelaki dipercayai anggota polis hanya kerana menegur seorang daripada lelaki itu yang tidak membuang sampah ke dalam tong sampah.
Mangsa, Mohd. Ridzuan Mohd. Noor, 23, berkata, dalam kejadian pukul 11.20 pagi itu, dia membuat kerja pembersihan di taman perumahan tersebut sebelum lelaki itu membuang sampah di luar tong sampah.
Dalam pada itu, menurut Abu Seman, kementeriannya sentiasa tegas dalam menangani masalah disiplin dalam kalangan pegawai dan anggota keselamatan negara.
"Anggota polis patut menjadi contoh yang baik kepada masyarakat. Jadi kita akan buat siasatan dan ambil tindakan sewajar sekiranya terbukti mereka melakukan kesalahan tersebut,'' tegas beliau.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment