Tuesday 27 September 2011

Tujuh anggota sindiket curi kereta Honda lama diberkas



SUBANG JAYA 27 Sept. - Polis menahan tujuh anggota sindiket curi kereta yang mensasarkan kenderaan jenis Honda lama untuk dijual komponennya dalam serbuan di sebuah unit pangsapuri di Taman Lestari Perdana di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, kesemua suspek berusia 24 hingga 35 tahun itu ditahan selepas pihaknya membuat risikan berdasarkan maklumat awam.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan lima lelaki di tempat letak kenderaan di kawasan tersebut dan susulan itu menahan dua lagi rakan mereka di dalam unit pangsapuri terbabit.
"Kita juga merampas empat buah kenderaan Honda lama yang diletakkan di tempat letak kenderaan di situ," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambah Thaiveegan, hasil pemeriksaan menemui beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah curi kereta selain komponen kenderaan dipercayai jenis Honda lama yang telah dileraikan.
Jelas beliau, kesemua kenderaan yang dirampas itu dilaporkan hilang oleh pemiliknya pada Julai lalu hingga September tahun ini dan suspek dipercayai melakukan jenayah itu ketika awal pagi.
Difahamkan, suspek dipercayai bekerja sebagai mekanik dan tukang jual komponen terpakai selain penganggur.
"Seramai empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi kenderaan dan sindiket itu dipercayai aktif sejak lebih setahun lalu," katanya.
Selain itu, saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif penyalahgunaan dadah jenis syabu.
Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang dadah yang ditemui ketika serbuan tersebut dilakukan.
Beliau berkata, kesemua nilai rampasan termasuk empat buah kenderaan yang dicuri itu bernilai RM125,000.
Jelasnya, kesemua suspek kini ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment