Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa Mohd Fardinie Zamri dilaporkan sebelum itu mengikut abang dan kakaknya masing-masing berusia 10 dan lapan tahun bersama dua lagi rakan lelakinya memancing ikan di sungai berkenaan.
Nenek mangsa, Halimah Din, 69, berkata, dia menyedari kejadian itu setelah dimaklumkan salah seorang rakan cucunya sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.
“Sebelum ini Fardinie bersama abang, kakak, adik bongsunya dan dua lagi kawannya pergi ke sungai untuk memancing, kemudian saya dimaklumkan seorang jiran bahawa cucu bongsu saya ke sungai, saya ke sana untuk membawanya dan Fardinie pulang.
“Tetapi sampai di rumah jiran, arwah (Fardinie) beritahu saya bahawa dia tidak mahu pulang dan mahu ke sungai kembali, tiba-tiba salah seorang rakan mereka datang memaklumkan kepada saya berkenaan kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dia yang terkejut dengan kejadian itu bertekad terjun ke dalam sungai itu bagi menyelamatkan cucunya.
“Pada waktu itu, sejurus mendapat tahu berkenaan tragedi itu, makcik terus terjun ke dalam sungai untuk mencari Fardinie, memang makcik terasa sesuatu di dasar sungai, tetapi makcik tidak menyangka itu arwah, sebab orang kampung selalu membuang guni ke dalam sungai itu.
“Makcik tidak menyangka itulah kali terakhir berjumpa dengan arwah, makcik juga berasa terkilan kerana sebelum ini dia ada meminta untuk makan maggi, tetapi permintaan tidak dapat makcik tunaikan kerana ketika itu kedai belum buka,” katanya.
Halimah berkata, cucu lelakinya itu ada menunjukkan kelakuan pelik sebelum kejadian itu apabila bertindak membuat mimik muka kepadanya yang tidak pernah dibuat cucunya itu sebelum ini.
Katanya, anak ketiga daripada empat beradik itu merupakan seorang peramah dan rapat dengan bapanya yang mempunyai hobi sama iaitu memancing.
Sementara itu, jiran mangsa, Pora Hasan, 52, berkata, dia yang pada mulanya melihat adik bongsu mangsa ikut serta memanggil nenek mangsa kerana bimbang si kecil itu jatuh ke dalam sungai.
“Saya memanggil Halimah untuk mengambil cucunya kerana bimbang jatuh ke dalam sungai yang pada ketika itu memang dipenuhi air sehingga ke paras tebing, tapi saya tidak sangka Fardinie pulak yang menjadi mangsa.
“Dia berbasikal untuk ke sungai, mungkin dia tergelincir, sewaktu kejadian nasib baik abangnya yang berusia 10 tahun tidak turut serta terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkan mangsa, abangnya hanya berpaut pada rumput-rumput di tepi sungai bagi mencapai adiknya, namun Allah lebih menyayanginya,” katanya.
Ibu mangsa Saridah Harun, 36, berkata, anak lelakinya itu ditemui orang kampung 45 minit kemudian dan tidak sempat diselamatkan.
Katanya, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Thohiriah di sini, laporan polis mengenai kes itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
No comments:
Post a Comment