Tuesday 27 September 2011

Geng curi motosikal berkuasa tinggi tumpas



JOHOR BAHRU 27 Sept. - Polis menumpaskan geng curi motosikal berkuasa tinggi di negeri ini dengan tertangkapnya dua lelaki dan merampas 10 motosikal pelbagai jenama di sebuah bengkel di Sentul, Kuala Lumpur pada 15 September lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dengan tertangkapnya suspek yang berusia 25 hingga 27 tahun itu, polis percaya berjaya menyelesaikan 28 kes curi motosikal yang dilaporkan di sekitar Johor Bahru.
"Antara motosikal yang berjaya dirampas dalam operasi dengan bantuan polis Sentul adalah jenis Yamaha R1 (dua), Honda CB 400, Honda CBR 900 RR, Aprilia dan Suzuki GSX R," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, hasil siasatan awal menunjukkan, kumpulan tersebut aktif semenjak awal 2009 dan semakan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah).
Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd. Mokhtar memberitahu, polis Johor berjaya menyelesaikan 26 kes pecah rumah di bandar raya ini dengan tertangkapnya dua lelaki di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram di sini pada 20 September lalu.
Tambahnya, suspek ditangkap dalam serbuan pukul 4.30 petang dan merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut termasuk sebuah kereta Toyota Estima yang dilaporkan dicuri di Seri Alam di sini pada Ogos lalu.
"Antara barangan yang dirampas adalah dua batang kuku kambing, pemotong besi, pemotong dawai, tukul kayu, set kayu golf, komputer, alat pemotong kaca, kamera pelbagai jenama, set penebuk dinding dan pahat," ujarnya.
Katanya, kedua-dua suspek berusia 33 dan 35 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau itu turut dikehendaki polis Melaka dan Perak serta ditahan reman sehingga esok untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment