Tuesday, 27 September 2011

Darah, rambut pada kayu kriket



SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu terdapat titisan darah dan sehelai rambut pada kayu kriket yang ditemui di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, iaitu tempat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain didakwa dibunuh dan dibakar.
Ketua Bahagian Kimia Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, Supritendan Soo Me Tong (gambar kecil) berkata, beliau kemudian melakukan ujian DNA pada bahan bukti tersebut.
"Ujian DNA dilakukan selepas saya diberi taklimat mengenai titisan darah dan sehelai rambut ditemui pada kayu kriket tersebut," katanya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff.
Me Tong sedang memberi keterangan dalam kes bunuh melibatkan Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38. Bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyagan, 20; R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, dituduh melakukannya.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Ketika ditanya peguam bela, Manjeet Singh Dhillon, saksi pendakwaan ke-48 itu memberitahu, dia tidak tahu kayu kriket itu ditemui dalam Sungai Panchau seperti yang dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin pada sidang akhbarnya.

No comments:

Post a Comment