Tuesday, 27 September 2011

Geng samun kedai tumpas



KULIM - Empat lelaki bersenjatakan parang dan pisau berjaya melakukan tiga jenayah samun terhadap tiga premis perniagaan di tiga tempat berasingan dalam tempoh 30 minit malam kelmarin.

Dalam kejadian pertama, suspek masuk ke sebuah kedai alat tulis di Jalan Perusahaan kira-kira jam 9.15 malam.

Menurut pemilik kedai, suspek datang dengan menunggang dua motosikal dan apabila sampai di hadapan kedai, dua darinya masuk ke dalam kedai manakala dua lagi menunggu di luar.

Suspek kemudiannya mengugut pekerja di dalam kedai dengan menggunakan parang. Setelah mengambil wang tunai, mereka melarikan diri dan pergi ke lokasi kejadian kedua di mana sebuah kedai runcit di Taman Bersatu menjadi sasaran.

Pemilik premis yang hanya dikenali Poh berkata, kumpulan itu masuk ke kedainya kira-kira jam 9.25 malam dan ketika itu dia berada di kaunter.

“Dua lelaki bersenjatakan parang masuk ke dalam kedai dan mengacu pisau ke arah saya. Mereka meminta saya menyerahkan wang perniagaan kepada mereka sebelum meninggalkan kedai. Bimbang dicederakan, saya mematuhi arahan mereka.

“Ketika kejadian, dua rakan suspek berada di hadapan kedai manakala dua lagi masuk ke dalam untuk melakukan samun. Bagaimanapun saya berjaya mencatat nombor pendaftaran salah sebuah motosikal ditunggang suspek,” katanya.

Kemudian kira-kira jam 9.45 malam, suspek sama pergi melakukan samun di sebuah kedai runcit di Taman Senagin. Modus operandi digunakan kumpulan ini sama. Setelah mengambil wang dari kaunter kedai terlibat, semua suspek melarikan diri.

Dari maklumat diterima, semua penjenayah terlibat dilihat berada di Padang Serai kira-kira jam 10.30 malam.

Polis yang dimaklumkan kejadian dan dengan bantuan Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) berjaya menahan semua suspek di Taman Mahsuri kira-kira jam 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek terlibat dibawa ke Balai Polis Padang Serai untuk soal siasat.

Katanya, selain wang tunai, polis turut merampas senjata dan kenderaan digunakan suspek ketika melakukan samun di tiga premis perniagaan terlibat.

“Kumpulan ini disertai empat lelaki bersenjatakan parang dan pisau. Mereka menunggang motosikal ketika melakukan jenayah. Polis berjaya menahan mereka dua jam selepas suspek melakukan jenayah samun terhadap tiga premis perniagaan di Kulim.

“Saya memuji sikap anggota polis dan masyarakat yang bertindak cepat untuk memastikan kumpulan ini tumpas. Suspek ditahan di Balai Polis Padang Serai sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment