Tuesday, 27 September 2011

Pemuda baru kahwin mati lemas



ARAU 27 Sept. - Seorang pemuda yang baru melangsungkan perkahwinannya lima bulan lalu ditemui mati lemas setelah motosikal ditunggangnya terbabas lalu terjunam ke dalam tali air di Kampung Behor Gelam, dekat sini, semalam.
Ketika kejadian pukul 6.30 petang, mangsa, Muhammad Nizam Othman, 22, dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Jejawi.
Menurut isterinya, Rosmaliza Rohin, 23, suaminya yang baru bekerja di kilang itu, sejak sebulan lalu keluar dari rumah dalam keadaan hujan lebat.
"Selalunya dia akan hantar pesanan melalui telefon bimbit apabila sampai ke tempat kerja namun sehingga pukul 7 petang saya tidak menerima pesanan itu.
"Namun saya tidak memikirkan apa-apa kerana menganggapnya mungkin dia sibuk. Sehinggalah pukul 9 malam saya tidak mendengar khabar berita dan saya mulai bimbang," katanya kepada para pemberita di sini, hari ini.
Rosmaliza yang tinggal di Kampung Pida 5, Kodiang, Kedah kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran dan operasi mencari dan menyelamat dilakukan bermula pagi ini.
Mayat mangsa kemudian ditemui terapung oleh penduduk kampung dalam keadaan masih memakai pakaian hujan di tali air berkenaan, pukul 10 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ishak Baharom memberitahu, mangsa dipercayai terbabas ketika sampai di selekoh jalan dekat kampung berkenaan.
Dalam kes berlainan, operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki, Mohd. Nurhafizi Mohd. Man, 20 yang dikhuatiri lemas di terusan Arau masih diteruskan.
Mangsa dipercayai dibawa arus deras pukul 5.30 petang semalam ketika bermain bot kawalan jauh di terusan tersebut.
Menurut Ishak, mangsa dikatakan masuk ke dalam terusan itu untuk membetulkan botnya yang terbalik namun dia dihanyutkan arus deras.
"Lebih 30 anggota pasukan mencari dan menyelamat memulakan operasi dari pukul 6 petang semalam namun masih gagal ditemui," katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment