3 keldai dadah kena gantung
Oleh Amin Ridzuan Ishak
2011/09/27
GEORGETOWN: Tiga orang termasuk seorang wanita yang mendakwa dijadikan keldai dadah oleh satu sindiket untuk mengedar dadah ke Australia enam tahun lalu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam atas kesalahan mengedar dadah jenis heroin. Hukuman ke atas tukang kebun, Kwok Weng Fatt, 62; buruh, Abdul Rahman Lee Abdullah, 54; dan suri rumah, Nurul Jannah Seng Abdullah, 47; itu dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zamani Abdul Rahim dalam penghakimannya semalam.Zamani berkata, tertuduh didapati gagal menimbulkan persoalan serta keraguan terhadap pendakwaan ke atas mereka dan faktor paling jelas di antara mereka adalah pengakuan bahawa mereka menelan ubat, bukannya dadah seperti didakwa.Weng Fatt didapati bersalah mengedar 196.74 gram dadah jenis heroin di Wad C5 Hospital Pulau Pinang (HPP) di antara jam 9.15 pagi, 30 Januari 2005 dan 12.40 tengah hari, 1 Februari 2005, manakala Abdul Rahman didapati bersalah mengedar 144.42 gram heroin di tempat sama di antara jam 5.40 pagi, 31 Januari 2005 dan 8.20 pagi, 1 Februari 2005.
Nurul Jannah didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin seberat 35.99 gram di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada jam 5.15 petang, 29 Januari 2005.
Dia juga didapati bersalah mengedar dadah jenis sama seberat 170.01 gram di Wad C5 di HPP di antara jam 7.35 pagi, 31 Januari 2005 dan 3.30 pagi, 2 Februari 2005.
Ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Ketika proses perbicaraan kes itu, mahkamah diberitahu bahawa ketiga-tiga tertuduh ditahan di LTAPP ketika sedang menunggu penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Australia.
Mereka yang tidak mengenali satu sama lain dibawa sebuah sindiket dan mendakwa diarahkan bermalam di sebuah hotel di Butterworth sehari sebelum itu.
Ketiga-tiganya dimasukkan di HPP selama lima hari untuk mengeluarkan dadah ditelan mereka yang dimasukkan di tiub getah.
Dalam keterangan mereka, ketiga-tiga memberitahu bahawa mereka ditemui tiga orang berasingan yang meminta mereka untuk menelan tiub getah berkenaan untuk dibawa ke Australia.
Tertuduh mendakwa tidak mengetahui isu kandungan dalam tiub berkenaan dan menyangkakan ia adalah ubat dan bagi memudahkan ia ditelan, tiub berkenaan disadurkan dengan mentega.
Weng Fatt dibayar RM180 bagi setiap satu tiub ditelannya (menelan 84 tiub), manakala Abdul Rahman RM160 bagi setiap satu tiub (menelan 68 tiub), manakala Nurul Jannah dibayar RM150 bagi setiap tiub (menelan 81 tiub).
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment