Monday, 26 September 2011

Kesan titisan darah di ladang sawit


SHAH ALAM 26 Sept. – Cebisan tulang dan gigi ditemui oleh pasukan forensik polis berhampiran pokok kelapa sawit di dalam Ladang Gadong, Banting, iaitu tempat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi didakwa dibunuh dan dibakar pada 30 Ogos tahun lalu.

Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Supritendan Soo Me Tong yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, penemuan itu dibuat hasil panduan enam pakar patologi forensik dari tiga hospital yang mengetuai pencarian pada 14 September 2010.

Menurut saksi pendakwaan ke-48 itu, turut ditemui di lokasi yang sama adalah kepingan logam, sebatang kayu dan serpihan kayu terbakar, sehelai seluar dalam jenama Hush Puppies saiz M, seluar panjang jenama Snail Classic saiz M, cebisan kain guni dan stokin, sisa kebakaran berwarna biru, wayar hijau dan satu kod bar.

‘‘Enam doktor dari Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Melaka turut hadir. Peranan mereka untuk membantu mencari sisa-sisa tulang serta mengesahkan sama ada ia tulang atau bahan lain.

‘‘Pencarian dibahagikan kepada empat zon dan setiap satu zon diketuai oleh salah seorang daripada mereka. Satu cebisan tulang ditemui di zon B, dua cebisan di zon C dan lebih 15 cebisan tulang serta gigi ditemui di zon D,’’ katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani.

Dalam kes ini, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Menurut Me Tong, tempat yang dikatakan mayat-mayat mangsa dibakar itu ditutup dengan atap zink dan kayu-kayan, manakala permukaan atas tanah dipenuhi najis kambing semasa beliau dan pasukannya tiba di situ.

Selain membuat pencarian selepas mengalihkan kayu dan zink-zink tersebut, beliau turut melihat terdapat kesan-kesan layu pada pokok kelapa sawit berhampiran kawasan pembakaran itu.

Terdahulu, pegawai forensik polis itu memberitahu, beliau dan pasukannya turut menemui kesan-kesan titisan darah semasa membuat pemeriksaan dalam bangunan satu tingkat yang mempunyai lima bilik di dalam ladang tersebut pada 12 September 2010.

Di dalam bangunan tempat Sosilawati dan tiga lagi didakwa diikat, dipukul dan diserang itu, beliau turut menemui sebatang kayu kriket, satu tong berisi cecair bahan bakar, keratan wayar berwarna hijau dan dua puntung rokok.

Sementara enam kesan cap jari yang berjaya ditimbulkan ditemui pada almari, laci di dalam almari yang sama dan pada botol minuman Coca-Cola di dalam bilik ketiga.

Semasa pencarian itu dilakukan, beliau dan pasukannya mengikut pegawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Mohd. Ishak Yaakob dan pegawai soal siasat, Cif Inspektor N. Govindan sambil dipandu oleh dua tertuduh, Matan dan Kathavarayan serta seorang lagi pekerja ladang tersebut, U. Suresh.

‘‘Kesan titisan darah yang diuji dan disahkan positif darah itu ditemui di luar dinding bilik pertama, kedua, ketiga dan kelima, pada kusyen dan sarung kusyen di depan bilik kedua dan pada televisyen di depan bilik ketiga.

‘‘Sebatang kayu kriket dan dua puntung rokok ditemui di bilik ketiga, satu tong plastik berisi dua pertiga cecair bahan bakar serta beberapa keratan wayar hijau ditemui di bilik ke lima. Satu penyodok dijumpai di dalam pondok berhampiran bangunan itu,’’ katanya.

Jelasnya, setiap bahan bukti termasuk sampel tanah di kawasan itu ditanda oleh beliau sendiri dengan tandatangannya serta tarikh hari tersebut sebelum dimasukkan ke dalam sampul dan diserah kepada pegawai penyiasat kes pada hari yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-34 hari ini bersambung esok.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment