Monday 26 September 2011

Pelajar IPTA didakwa bunuh penuntut tahfiz


KUALA LUMPUR 26 Sept. - Seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang pelajar perempuan maahad tahfiz, awal bulan ini.

Muhammad Khairi Nor Aziz, 19, yang hadir ke mahkamah dengan berkopiah dan berbaju kemeja-T warna coklat menganggukkan kepala tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah kepadanya.

Pemuda itu didakwa membunuh Nurul Awathif Mohd. Shakir, 19, di rumahnya di No. B-119 Pangsapuri Sri Wira, Jalan Ukay Perdana 2, Taman Ukay Perdana, Ampang dekat sini antara pukul 9 malam, 4 September lalu dan pukul 2.15 pagi, 5 September lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Majistret Wan Karimah Wan Md. Ab. Ghani tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 8 November ini untuk pihak pendakwaan mengemukakan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, seorang pelajar yang mengambil jurusan sarjana muda ukur bahan di sebuah IPTA di Seri Iskandar, Perak telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang remaja perempuan rentung di kawasan semak di Kampung Lembah Jaya Utara, Bukit Belacan dekat sini.

Hasil siasatan polis kemudiannya mengesahkan tertuduh dan mangsa saling mengenali dan sebelum kejadian bunuh itu berlaku, tertuduh didakwa cuba memperkosa penuntut di Maahad Tahfiz At-Tijarah, Selayang itu selepas hajatnya untuk menyambung kembali hubungan percintaan mereka ditolak.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment