Monday 26 September 2011

Lebai acu pistol


KUALA TERENGGANU: Seorang timbalan pendakwa raya dan anak perempuannya berusia 14 tahun berdepan detik cemas apabila mereka diacu pistol oleh penjenayah yang memakai serban, kelmarin.
Lelaki lingkungan 50-an terbabit dikatakan mengacu senjata api berkenaan ketika dua beranak itu berada dalam kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail berhampiran Agrobank, di sini, jam 11 pagi.

Berikutan tindakan itu, lelaki terbabit kini diburu polis selepas mangsa, 39, melaporkan kejadian berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, jam 2 petang hari yang sama.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan ke farmasi dan berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Beliau berkata, sebaik Naza Citra berwarna hitam dipandu mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan, secara tiba-tiba cermin pintu kereta sebelah pemandu diketuk seorang lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal.


“Mangsa yang terkejut dengan ketukan terbabit menoleh ke arah suspek yang kemudian mengambil pistol dari raga motosikalnya sebelum mengacukan senjata itu ke muka mangsa.

“Bimbang sesuatu kejadian buruk, mangsa menggerakkan kenderaannya beberapa meter ke depan sebelum meneruskan perjalanan ke Jalan Syed Husin sebaik lampu isyarat bertukar hijau lalu membelok ke Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya tindakan suspek terbabit ada kaitan dengan tugas mangsa sebagai timbalan pendakwa raya.

“Kita percaya suspek melakukan ugutan itu sebagai memberi amaran kepada mangsa ekoran tidak puas hati terhadap kerjaya mangsa yang mengendalikan kes berprofil tinggi membabitkan hukuman mati,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, semalam.

“Jangan sesekali menakutkan pegawai kerajaan melalui apa cara sekalipun.


“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi IPD Kuala Terengganu di talian 09-6322222 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Malik Mehat di talian 019-4135595 atau 09-6322222 sambungan 2302,” katanya.

myMetro | Lebai acu pistol:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment